Kerajaan tiada rancangan luluskan penjualan LTSAAS kepada pihak swasta | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tiada rancangan luluskan penjualan LTSAAS kepada pihak swasta

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk meluluskan pengambilan atau penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang kepada sebarang entiti swasta. 

 

Menteri pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, hak dan pengoperasian LTSAAS kekal seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Pajakan yang diberikan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk mengendali,mengurus dan menyelenggara termasuk menetap, mengguna dan mengawal lapangan terbang sehingga tahun 2034 (operating agreement) dan 2067 (lease agreement).

 

“MAHB bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa sepertimana yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Mac,2005,” katanya.

 

Sebelum ini, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir merayu agar kerajaan membatalkan hasrat untuk menswastakan dan mengeluarkan LTSAAS bagi tujuan pengambilalihan pihak tertentu.  

 

Beliau juga menekankan bahawa pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan oleh MAHB merupakan sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara iaitu Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

 

BACA JUGA : PENGERUSI MAHB SEKALI LAGI RAYU KERAJAAN BATALKAN HASRAT JUAL  LTSAAS

 

Ka Siong berkata, pihak kementerian juga tidak menghalang MAHB untuk bekerjasama dengan entiti swasta bagi melaksanakan projek-projek pembesaran lapangan terbang.

 

MAHB ketika ini bertindak menangguhkan pelaksanaan projek penyelenggaran lapangan terbang sehingga mempunyai aliran tunai yang mencukupi bagi menampung kos perbelanjaan.

 

Pada masa ini, MAHB perlu menangung kos sebanyak RM140 juta sebulan bagi kos operasi semua 39 lapangan terbang di bawah rangkaian MAHB di seluruh negara.

 

“Sekiranya keadaan kembali pulih dan ideal, ia tidak akan menjadi masalah untuk melaksanakan projek pembesaran lapangan terbang terutamanya di Lapangan Terbang Pulau Pinang.

 

“Cadangan itu masih ada, tetapi untuk dilaksanakan pada waktu ini merupakan satu kekangan untuk MAHB dari segi kewangan,” katanya.

 

Sementara itu, tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom bagi projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sehingga kini seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.

 

Beliau berkata, kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) telah disiapkan.

 

“Selain itu, pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti mana yang dinyatakan dalam laporan-laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan sebagainya.

 

“Ia bagi memastikan cadangan pembinaan lapangan terbang benar-benar viable, sustainable dan memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM),” katanya.

 

Setakat ini, Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dalam pada 27 Okt, 2020 hanya memberi kelulusan prinsip terhadap cadangan Projek KXP.

 

“Kelulusan prinsip ini adalah tertakluk kepada permohonan mendapatkan pertimbangan daripada Kementerian Pengangkutan dan beberapa agensi kerajaan yang lain,” katanya.-Dagangnews.com