Kerajaan tubuh pasukan khas bantu kanak-kanak lepasan JKM lanjutkan pelajaran - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tubuh pasukan khas bantu kanak-kanak lepasan JKM lanjutkan pelajaran - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022, hari ini. - Gambar PMO
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Sebuah pasukan khas akan diwujudkan dengan disertai agensi-agensi kerajaan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak-kanak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melanjutkan pelajaran baik dalam bidang kemahiran mahupun akademik.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sama, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan dana penempatan serta laluan kerjaya.

 

Beliau berkata, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

 

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berperanan dalam menyediakan latihan serta peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian. Kesemua bantuan ini akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

 

"Kerajaan amat mengambil berat tentang soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan JKM bagi menjamin masa depan golongan itu. Mereka yang berusia 18 tahun lazimnya tidak lagi ditanggung JKM menyebabkan ada dalam kalangan mereka tercicir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022 yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi terlibat.

 

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi dalam usaha untuk meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

 

 

pm

 

 

"Untuk itu GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang ahli bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai kesaksamaan gender," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat turut menzahirkan kebimbangan terhadap kes jenayah siber yang semakin meningkat. 

 

Beliau berkata, sejak 2016 sehingga 2021 dilaporkan terdapat hampir 82,000 kes penipuan siber melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM2.21 bilion.

 

 

pm

 

 

Katanya, menyedari tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian, Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber diwujudkan. 

 

"Ia bagi melahirkan warga siber yang berpengetahuan dan bertanggungjawab serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah siber," katanya.

 

Tambahnya, Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani isu gangguan seksual di negara ini. - DagangNews.com