Kerajaan umum bayaran RM500 juta Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan umum bayaran RM500 juta Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0

 

PUTRAJAYA 17 Sept - Kerajaan terus komited menyokong sektor perniagaan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro, dengan menyalur bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mulai Selasa, 21 September 2021.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 1 juta PKS mikro, bagi meringankan beban kewangan mereka dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.

 

Katanya, bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada September 2021 berjumlah RM500 dan November 2021 (RM500).

 

Menurut beliau, inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0, dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.

 

''Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP. Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021  melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Secara keseluruhan kata Perdana Menteri lagi, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

 

''Saya berharap bantuan ini dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia,'' kata Ismail Sabri. 

 

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

 

''Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu 
aliran tunai,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com