KUALA LUMPUR 6 Jan – Menjelang pelaksanaan system RFID di semua plaza tol Lebuhraya Utara-Selatan pada 15 Januari ini, para pengguna lebuh raya tetap boleh menggunakan SmartTag dan Touch ‘n Go, menurut PLUS.
Dalam hantaran terbaharu Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid di dalam facebook berkata, sejumlah 164 laluan tol RFID akan dibuka di Juru, Pulau Pinang sehingga ke Skudai, Johor pada 15 Januari ini.
Menurutnya, bermula tarikh tersebut pengguna lebuh raya boleh menjelajah antara negeri untuk menikmati Pasembor di utara atau Laksa Johor menggunakan kemudahan RFID.
"Bagi pengguna lebuh raya yang masih menggunakan SmartTag dan kad Touch ‘n Go juga masih disediakan lorong masing-masing di lebuh raya PLUS,’’ kata beliau.
Syed Mohammed berkata, pelaksanaan RFID di keseluruhan plaza tol PLUS akan memberi kemudahan kepada 1.5 juta pengguna RFID sedia ada untuk merentas antara negeri.
Selama ini kata beliau, para pengguna hanya menikmati sistem canggih tersebut untuk di kawasan di dalam bandar raya, khususnya di Lembah Klang.
RFID bermaksud pengenalpastian berfrekuensi radio iaitu sistem yang menyediakan altenarif pembayaran tanpa tunai bagi pemilik kenderaan kerana mereka boleh membayar menggunakan e-dompet Touch ‘n Go mereka.
Syed Mohammed menjelaskan, setiap plaza tol akan memiliki minimum satu lorong pembayaran RFID, dan tambahan lorong akan dibuat berdasarkan situasi permintaan dan bekalan.
ARTIKEL BERKAITAN : PLUS - Pembayaran tol guna Touch 'n Go dan SmartTag masih kekal
Bulan lalu, PLUS menyatakan tempoh masa bagi penamatan penggunaan SmartTag akan bergantung kepada kadar pengambilan RFID oleh pemilik kenderaaan.
Walaubagaimana pun, kerajaan menetapkan sasaran bagi memperkenalkan pelbagai lorong aliran bebas (MLFF) di lebuh raya menggunakan RFID menjelang tahun 2026.
Lebuh raya MLFF adalah lebuh raya tanpa penghadang yang mana pemandu menggunakan pembayaran tanpa sentuh dengan pemandu lalu masuk ke gantri yang dilengkapi alat pengimbas, berbanding plaza tol dilengkapi penghadang. – DagangNews.com