Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Kerjasama antara Netflix dan Astro Malaysia Holdings Bhd. dijangka mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak, menurut penganalisis KAF Research, Benny Chew.
Dalam nota kajian, beliau berkata, ia membolehkan Netflix mendapatkan akses kepada asas pelanggan Astro dalam usahanya memasuki pasaran Malaysia, dengan kadar penembusan setakat ini, 74%.
Katanya, kedudukan Astro sebagai pengagregat utama dalam perkhidmatan penstriman akan semakin kukuh, sekali gus meningkatkan pendapatan purata setiap pengguna (ARPU).
"Meskipun, kerjasama ini hanya memberi impak yang kecil kepada pendapatan Astro, tetapi, kami percaya langkah ini akan memberi kelebihan kepadanya dalam tempoh jangka masa panjang terutama dengan penyertaan lebih banyak rakan kerjasama penstriman pada masa akan datang.
"Malah, tindakan Astro ini juga tepat pada masanya dengan memanfaatkan mega trend industri media memandangkan trend cord-cutting dan pasaran over the top (OTT) semakin berkembang," katanya dalam hari ini.
Platform OTT Astro ketika ini termasuklah Astro GO, iQIYI, HBO GO dan terbaharu, Disney+ Hotstar. Dalam tempoh 2 tahun lagi, Astro merancang untuk menambah platform OTT sedia ada seperti Netflix.
Chew mendapati, strategi Astro untuk muncul sebagai pengagregat utama dalam perkhidmatan penstriman boleh diperkukuhkan menerusi filem-filem blockbuster Hollywood dan juga filem-filem Malaysia serta kandungan tempatan yang popular.
Bagaimanapun, menurut beliau, isu mengenai cetak rompak dan pelanggaran hak cipta, yang disebabkan terutamanya jualan kotak Android TV secara berleluasa, kekal menjadi ancaman utama kepada Astro.
Namun, katanya, pembabitan Astro dalam digital telah mengurangkan kesan daripada masalah cetak rompak dan alternatif OTT yang lebih murah.
"Pada masa sama, keputusan (yang diputuskan Mahkamah Tinggi Harta Intelek pada 24 Mei lalu) mengenai isu penjualan peralatan penstriman haram (ISD) sedikit sebanyak turut membantu mengurangkan kebimbangan tersebut.
"Dalam hal ini, kami percaya keputusan itu akan meningkatkan perlindungan harta intelek Astro dan operasi anti-cetak rompak secara berterusan," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu memberi penilaian 'beli' bagi saham Astro dengan harga sasaran pada RM1.25.
Menurut Chew, pembukaan semula ekonomi akan menjadi pemangkin kepada pemulihan pendapatan kumpulan pada suku-suku akan datang.
"Kami yakin usaha Astro untuk memperkukuhkan platform OTT, menyediakan perkhidmatan kepada pasaran yang kurang diberi tumpuan, meneroka potensi perniagaan penstriman dan segmen membeli-belah dalam talian yang semakin berkembang akan membantu mempercepatkan pemulihan kumpulan," tambahnya. - DagangNews.com