KUALA LUMPUR 13 April - CTOS Data Systems Sdn Bhd, anak syarikat CTOS Digital Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SBH Corporate Group Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan di bawah nama SBH Financial Consultancy.
Menerusi MoU ini, SBH Financial Consultancy sebagai sebuah perunding kewangan profesional Malaysia akan mempromosi pelbagai program pendidikan kewangan.
Di samping itu, mereka menawarkan laporan MyCTOS Score dan CTOS SecureID secara langsung kepada pelanggan bagi menentukan kesihatan kredit dan melindungi mereka daripada penipuan.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems, Eric Chin berkata agensi pelaporan kredit itu mempunyai misi memperkasakan individu dan perniagaan untuk mendapat akses kepada kredit, memberikan mereka masa hadapan yang lebih baik.
“Sebahagian besar daripada misi ini adalah untuk membantu mendidik dan memaklumkan orang ramai mengenai sumber sedia ada untuk kegunaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan CTOS, pihaknya telah menjalankan banyak program celik kewangan berkaitan pengguna selama beberapa tahun, melibatkan semua lapisan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kesihatan kredit untuk kewangan masa hadapan yang lebih baik.
Program-program ini termasuklah lebih 400 jerayawara tentang pendidikan kewangan dan webinar di seluruh negara dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, lain-lain agensi kerajaan, bank dan pemaju hartanah.
Sementara itu, SBH Financial Consultancy telah membantu ramai individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menilai, mengkaji semula, merancang dan menyelesaikan hutang mereka sejajar dengan matlamat CTOS untuk memperbaiki kesihatan kewangan.
Sejak beberapa tahun ini, pasukan perunding kewangan SBH telah membantu pelanggan menyelesaikan hutang kredit kad dan membantu ramai individu yang dibelenggu hutang dari ambang kebankrapan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SBH Consultancy, Sam Tsen berkata, “Kami kerap memberi rundingan percuma dan mengadakan bengkel serta seminar kepada individu dan syarikat terutamanya PKS untuk memberi nasihat profesional dalam menguruskan kewangan mereka.” -DagangNews.com