Kerjasama MBAM, ILO tingkat pembangunan kemahiran dalam sektor pembinaan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama MBAM, ILO tingkat pembangunan kemahiran dalam sektor pembinaan

KUALA LUMPUR 9 Jun - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi meningkatkan kepemimpinan industri dalam pembangunan kemahiran serta meningkatkan kebolehpasaran dan pembangunan kerjaya berterusan pekerja, terutamanya wanita dan belia yang ketinggalan dalam sektor pembinaan.

 

MBAM berkata, kedua-dua pihak bersama-sama melancarkan perjanjian pelaksanaan yang menyokong  penambahbaikan strategi kemahiran sektor dengan input industri, menggalakkan program perintis berkualiti, membangunkan peta kemajuan kerjaya yang sensitif jantina dan meningkatkan kapasiti MBAM sebagai badan kemahiran sektor bagi sektor pembinaan di Malaysia.

 

Ketika ini katanya, industri pembinaan berdepan kekurangan kemahiran, sebahagiannya disebabkan peluang yang terhad untuk pekerja menyertai latihan industri yang berkaitan dan berasaskan kerja terutamanya bagi beberapa perdagangan khusus dan untuk menarik bakat yang pelbagai terus menjadi cabaran bagi industri.

 

“Perkongsian baharu itu dapat menangani isu ini dan isu lain dengan cara yang membolehkan industri mempunyai penglibatan yang lebih besar dalam pembangunan kemahiran dan mengukuhkan perkongsiannya dengan pemegang kepentingan utama,” katanya, lapor Bernama.

 

Katanya, perkongsian itu juga akan mengukuhkan pertumbuhan sektor itu sambil mempertingkatkan dasar dan mekanisme institusi.

 

“Selain itu, perkongsian itu akan meningkatkan penggunaan kemahiran, kebolehpasaran dan laluan pembangunan kerjaya untuk wanita dan belia daripada kumpulan yang ketinggalan di Malaysia seperti mereka yang berada dalam ekonomi 40% terendah,” katanya.

 

Katanya, ini akan dilakukan melalui peningkatan strategi kemahiran sektor, penyampaian pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang diterajui industri dan modaliti latihan kemahiran dan pembangunan peta perkembangan kerjaya yang sensitif jantina. 

 

Dalam tempoh lapan bulan akan datang, MBAM akan mereka bentuk dan melaksanakan aktiviti yang dirancang dengan penyelarasan dengan firma ahlinya sendiri, agensi kerajaan, institusi TVET, rakan industri, organisasi pekerja dan rakan sosial yang lain. - DagangNews.com