Kerjasama 'MyDigital Alliance' tingkatkan kemahiran tenaga kerja digital | DagangNews Skip to main content

Kerjasama 'MyDigital Alliance' tingkatkan kemahiran tenaga kerja digital

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mempengerusikan mesyuarat sulung MyDigital Alliance Leadership Council.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mempengerusikan mesyuarat sulung MyDigital Alliance Leadership Council.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Gandingan dan kerjasama pemimpin sektor awam, swasta, masyarakat sivil dan dunia akademik dalam 'MyDigital Alliance Leadership Council' merupakan satu usaha untuk meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran tenaga kerja digital Malaysia menerusi dasar transformasi pendidikan dan kemahiran.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mempengerusikan mesyuarat pertama MyDigital Alliance baru-baru ini berkata, dasar 'digital-first' atau mendahulukan digital penting untuk menaik taraf masyarakat, memacu pertumbuhan ekonomi inklusif dan meningkatkan daya saing Malaysia.

 

"Untuk menjadi sebuah ekonomi pendapatan tinggi, kita perlu melaksanakan pelbagai pembaharuan dan memperkenalkan faktor pendorong.

 

"Teknologi dan kemahiran merupakan pemangkin asas, manakala kebingkasan bakat-bakat digital menjadi penentu kejayaan kita pada masa depan

 

“Untuk membolehkan kita bangkit lebih kukuh selepas pandemik, pembangunan kemahiran perlu diutamakan dalam usaha menggerakkan semula ekonomi kita. Menerusi kerjasama awam-swasta yang mantap ini, kita akan terus mara untuk mencapai Digital Malaysia yang berlandaskan ciri-ciri kemampanan, inklusif dan berinovasi," katanya dalam satu kenyataan.

 

 Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan ucaptama pada mesyuarat sulung MyDigital Alliance Leadership Council di Putrajaya baru-baru ini.
Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan ucaptama pada mesyuarat sulung MyDigital Alliance Leadership Council di Putrajaya baru-baru ini.

 

Mesyuarat pertama MyDigital Alliance dihadiri oleh wakil daripada agensi kerajaan, pemimpin industri, NGO dan ahli akademik, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia, PETRONAS, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), TalentCorp, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Yayasan Hasanah, Universiti Teknologi PETRONAS, dan Pasukan Bola Sepak Buta Kebangsaan.

 

Majlis MyDigital Alliance bermatlamat untuk menyokong aspirasi MyDigital Malaysia termasuk melahirkan bakat yang tangkas dan bingkas selain memastikan setiap insan mempunyai peluang saksama untuk menerima manfaat dan memanfaatkan ekonomi digital Malaysia yang berkembang pesat. 

 

Ia telah ditubuhkan oleh Microsoft sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia, dengan usahasama Social & Economic Research Initiative (SERI). 

 

Usaha itu bertindak sebagai platform yang disertai oleh pelbagai pemegang taruh dan pihak relevan dalam usaha merangka cadangan dasar mendahulukan awan dan asli digital demi kemajuan ekonomi digital negara. 

 

Ianya membabitkan siri mesyuarat yang dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan untuk merangka dan mencadangkan dasar untuk era digital. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SERI, Dr. Helmy Haja Mydin memberitahu, pihaknya juga sedar akan kesan positif yang wujud oleh ekonomi digital terhadap negara dan rakyat ketika dunia berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi.

 

Jelasnya, negara perlu merangka dasar teknologi yang akan memastikan pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dengan holistik dan menyeluruh.

 

“Dalam dunia semasa yang dipenuhi gangguan teknologi dan perubahan yang ketara, bakat, pendidikan dan kebolehpasaran graduan adalah faktor pendorong kritikal yang memastikan peluang ekonomi tersebar secara inklusif.

 

"Kemahiran menjadi blok binaan ekonomi pasca COVID yang berdaya tahan. Kami, bersama dengan Microsoft, berhasrat untuk membentangkan kepada kerajaan Malaysia penemuan dan cadangan dasar untuk membolehkan cita-cita Digital Malaysia tercapai," tambahnya. - DagangNews.com