Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Sistem pembayaran patuh Syariah, PayHalal, mengumumkan kerjasama dengan platform beli sekarang bayar kemudian (BNPL) terkemuka di Asia, Atome, untuk membolehkan penerimaan BNPL Murabaha (iBNPL) bagi peniaga-peniaga dalam PayHalal.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PayHalal, iBNPL akan dimulakan di Malaysia sebelum dilancarkan di Indonesia dalam masa yang terdekat.
"Peralihan pembelian atas talian di kala pandemik ini telah memdesak keperluan segera kepada peniaga dan perniagaan Muslim untuk meningkatkan pengalaman e-dagang pengguna.
"Kerjasama dengan Atome ini dapat memperluaskan pengalaman pembayaran untuk beribu-ribu pembeli dengan pilihan pembayaran yang pelbagai, melalui rangkaian peniaga-peniaga PayHalal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Melalui kerjasama dengan Atome untuk memperkenalkan iBNPL kepada seluruh peniaga PayHalal, pembeli kini boleh mendapat akses kepada cara pembayaran yang fleksibel, mudah dan selamat dengan membenarkan mereka membahagikan pembelian kepada tiga penangguhan pembayaran tanpa faedah, yuran tahunan atau perkhidmatan.
Dilancarkan pada tahun 2018, PayHalal merupakan sistem pembayaran patuh Syariah yang pertama di dunia. Dengan menawarkan PayHalal sebagai pilihan pembayaran, peniaga juga diperakui untuk membolehkan mereka menawarkan produk dan perkhidmatan yang halal.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Atome, David Chen berkata, kerjasama tersebut akan membuka ruang kepada peniaga dan perniagaan Muslim menyediakan pengalaman menarik dalam pembayaran untuk pembeli-pembeli mereka dalam situasi pandemik COVID-19 ini.
"Kami berasa sangat teruja untuk bekerjasama dengan PayHalal untuk mengembang dan melancarkan penerimaan beli sekarang bayar kemudian Murabaha pertama di Malaysia, sebelum dilancarkan di Indonesia dalam masa beberapa bulan lagi," katanya. -DagangNews.com