Kerjasama Telefόnica Tech perkukuh penawaran keselamatan siber TM | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Telefόnica Tech perkukuh penawaran keselamatan siber TM

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 April - Kerjasama dan Perjanjian Perkhidmatan Utama (MSA) dengan Telefόnica Tech, menerusi Telefόnica Global Solutions bertujuan untuk memperkukuh penyelesaian infrastruktur digital Telekom Malaysia Berhad (TM).

 

Ia sekali gus yang membolehkan unit penyelesaian perniagaan dan sektor awam TM,  TM ONE menawarkan penyelesaian keselamatan siber global untuk Sektor Perusahaan dan Awam di Malaysia bagi menentang ancaman siber.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, MSA tersebut akan membolehkan TM ONE membangun dan melaksanakan strategi keselamatan siber global untuk pasaran Malaysia.

 

"Kami amat teruja dapat bekerjasama dengan Telefónica Tech, sebuah syarikat telekomunikasi antarabangsa yang terkemuka untuk membawakan penyelesaian bertaraf antarabangsa kepada pelanggan kami.

 

"Sebagai sebahagian daripada Kumpulan TM, kami sentiasa terus memperkukuhkan infrastruktur digital kami untuk memudahkan lagi penerimaan teknologi-teknologi digital, dengan memanfaatkan perkhidmatan Awan dan keselamatan siber.

 

"Ini akan membolehkan kami menawarkan produk-produk dan penyelesaian menyeluruh yang akan mempertingkatkan gaya hidup digital serta menyediakan penyelesaian perniagaan yang lengkap. Dengan CYDEC, TM ONE bersedia untuk memperkasa dan mempercepat agenda Rangka Kerja (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan memberikan ketahanan siber melalui sambungan, awan, pusat data dan keselamatan siber," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MSA tersebut telah ditandatangani oleh Ahmad Taufek Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Telefόnica Global Solutions, Julio Beamonte.

 

Melalui MSA itu juga,  Telefόnica Tech akan memberikan khidmat rundingan untuk menyokong dan membina program keselamatan siber yang holistik bagi pembangunan Pusat Operasi Keselamatan Siber Global TM ONE (TM ONE Global Cyber Security Operations Center – G-CSOC)

 

Ia termasuk latihan dalam perkhidmatan keselamatan siber bagi meningkatkan kecerdasan dan kemahiran digital tenaga kerja tempatannya.

 

Tambah Ahmad Taufek, setiap organisasi perlu melindungi dan menjamin keselamatan perniagaan, data pelanggan dan reputasi jenama mereka daripada penjenayah siber.

 

Susulan, penting bagi sesebuah organisasi untuk memahami kemampuan dan keupayaan mereka bagi mengesan dan bertindak balas terhadap sesuatu serangan siber. 

 

Jelasnya, organisasi perlu mempunyai alat, proses dan paling penting pasukan yang tepat iaitu merujuk kepada pasukan pakar perisik siber atau penganalisis keselamatan yang sentiasa bersedia pada setiap masa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Keselamatan Siber dan Awan di Telefónica Tech, María Jesús Almazor memberitahu, pihaknya memiliki pengetahuan dan pengalaman untuk menawarkan perkhidmatan keselamatan siber yang diperlukan untuk melindungi syarikat-syarikat dalam gelombang digitalisasi masa kini. 

 

"Pendekatan global kami merupakan kelebihan strategik buat syarikat-syarikat ini dalam pasaran mereka dan langkah ke hadapan buat sektor telekomunikasi secara keseluruhannya," ujar beliau. - DagangNews.com