Kerjasama UEM Edgenta, Iskandar Investment bagi penuhi matlamat sifar karbon | DagangNews Skip to main content

Kerjasama UEM Edgenta, Iskandar Investment bagi penuhi matlamat sifar karbon

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - UEM Edgenta Bhd, syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur memeterai memorandum penerokaan perniagaan (MOBE) bersama Iskandar Investment Bhd (IIB) di Medini, Johor. 

 

Usaha MOBE itu bertujuan untuk memenuhi matlamat pelepasan sifar karbon IIB dengan memajukan kemampanan, kecekapan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon.

 

Menurut UEM Edgenta Bhd, kerjasama itu bakal memberi impak positif kepada perkembangan di wilayah Iskandar. 

 

Katanya, usaha MOBE itu akan menyepadukan penyelesaian kecekapan tenaga UEM Edgenta untuk pembangunan persekitaran binaan yang mampan, infrastruktur dan teknologi bandar ketersambungan tinggi (hyper-connected) dalam tempoh dua tahun akan datang.


 
"Di bawah MOBE tersebut, UEM Edgenta akan menyediakan IIB untuk mencapai Bangunan Sifar Bersih (Net Zero Buildings) melalui kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui di tapak, audit tenaga dan pengubahsuaian  bangunan untuk memenuhi piawaian hijau. 


 
"Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada program Zero Capex untuk kecekapan tenaga dan sistem pemantauan bersepadu untuk prestasi tenaga dan pelepasan karbon," ujarnya.

 

Turut hadir dalam pertukaran dokumen MOBE itu ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim. 
 

Sementara itu, UEM Edgenta turut menyokong pelaksanaan pembangunan bandar yang mampan dan berketersambungan tinggi. 

 

Inisiatif itu melibatkan perancangan bandar yang mengutamakan alam sekitar menggunakan teknologi pintar, mewujudkan Zon Tenaga Boleh Diperbaharui, dan menggunakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri.

 
 
UEM Edgenta Bhd berkata "Selain itu, Pelan Hala Tuju Teknologi Bandar Sifar Bersih (Net Zero City Technology Roadmap) akan dibangunkan, menampilkan kembar digital untuk pemodelan bandar, penyelenggaraan ramalan dan sistem pengurusan kemudahan pintar. Semua usaha akan sejajar dengan amalan terbaik kemampanan."


 
Kerjasama itu juga akan diperluaskan kepada pembangunan infrastruktur, di mana syarikat itu akan menyediakan kepakaran kejuruteraan dan pengurusan projek untuk menyediakan pemilik hartanah dan pemaju perbandaran. 


 
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin menekankan peranan kemampanan dalam strategi korporat masa kini, beliau berkata "Lebih dari tiga dekad di Malaysia, inisiatif kemampanan kami bukan sahaja telah memberikan penjimatan kos yang ketara tetapi juga meningkatkan prestasi dan meningkatkan nilai asset-aset pelanggan kami,"

 

"Hasilnya terbukti apabila pelanggan kami telah mendapat pengurangan sehingga 52% dalam penggunaan tenaga elektrik, menjimatkan lebih dari RM100 juta secara kumulatif, dan usaha kami telah membawa kepada pengurangan pelepasan karbon melebihi 31,200 tCO2," katanya dalam media kenyataan.

 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata kerjasama dengan UEM Edgenta sejajar dengan visi CBD sifar bersih, berpaksikan pendigitalan, inovasi dan Perkhidmatan Perniagaan Global.


 
Beliau berkata,"Dengan memberi tumpuan kepada mencapai bangunan sifar bersih, penyepaduan teknologi bandar pintar, dan memajukan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kami komited untuk meneroka penyelesaian mampan transformatif, 


  
"Bersama dengan kepakaran UEM Edgenta,kami bermatlamat untuk menetapkan piawaian baharu dalam kecekapan tenaga dan amalan bangunan hijau, menyasarkan 90% Bangunan Berperakuan Hijau menjelang 2040.", ujarnya. 


 
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan UEM Edgenta dan perjalanan kemampanannya layari https://www.uemedgenta.com/  - DagangNews.com