Kerjasama UiTM dan pakar industri, bangunkan masa depan industri barang kemas Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kerjasama UiTM dan pakar industri, bangunkan masa depan industri barang kemas Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di bawah Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas menunjukkan komitmen dan kepakaran akademiknya dalam industri barang kemas dengan menyertai Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024. 

 

Pameran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying itu dianjurkan oleh Elite Expo Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang. 

 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn Bhd., Datuk  Johnson Lim dan Presiden Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang, Ivan Chee.

 

UiTM berkata, pameran itu berfungsi sebagai platform penting untuk pengeluar, pembeli, penjual, dan pereka barang kemas bagi meneroka peluang perniagaan yang luas. 

 

Selain itu, peserta UiTM mendapat pengiktirafan istimewa melalui tajaan penuh yuran pameran sebanyak RM22,000 di Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos 2024.

 

Tajaan disumbangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn. Bhd, Datuk Johnson Lim itu mencerminkan penghargaan terhadap kualiti dan potensi pelajar UiTM dalam industri barang kemas, sekaligus memberi mereka platform untuk mempamerkan bakat dan kemahiran kepada dunia. 

 

"Kerjasama antara UiTM dan industri barang kemas merupakan lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun 2023 antara Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas UiTM Shah Alam dan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang. 

 

"Inisiatif ini memperkukuhkan hubungan antara sektor pendidikan dan industri, dengan memperkenalkan bakat-bakat baru UiTM kepada pemain utama dalam industri barang kemas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

"Pada masa yang sama, kerjasama ini memastikan kelestarian program melalui pelbagai inisiatif strategik yang dibentuk oleh UiTM, Elite Expo Sdn. Bhd., dan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang," ujar UiTM. 

 

Sementara itu, Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024 membuka peluang besar kepada pelajar UiTM untuk membina rangkaian dengan pemain utama industri, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan emas dan barang kemas yang terkemuka di peringkat antarabangsa.- DagangNews.com