Kerjaya audit di Malaysia dan global berada di persimpangan jalan dalam menarik dan mengekalkan  juruaudit - ACCA | DagangNews Skip to main content

Kerjaya audit di Malaysia dan global berada di persimpangan jalan dalam menarik dan mengekalkan  juruaudit - ACCA

Laporan ACCA menyarankan usaha bersepadu bagi menangani cabaran bakat sekian lama dan membentuk semula dinamik bagi mencapai impak dan pertumbuhan mampan
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 April - Cabaran besar yang dihadapi kerjaya audit dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat dibentangkan di dalam laporan terbaharu ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun) dan Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand (CA ANZ).

 

Satu kaji selidik oleh badan perakaunan ACCA dan CA ANZ, yang disokong oleh siri perbincangan meja bulat global, mendedahkan cabaran berterusan dihadapi kerjaya audit di dalam perjuangannya untuk menarik dan mengekalkan bakat, membayangkan penurunan angka menyertai kerjaya tersebut.

 

Penelitian dalaman daripada lebih 6,500 profesional kewangan di seluruh dunia mendedahkan sebuah sektor yang mana tenaga kerjanya menuntut waktu kerja fleksibel dan ganjaran saksama dalam menghadapi kebimbangan kian meningkat mengenai keseimbangan kehidupan-kerja seseorang individu.

 

Antonis Diolas, ketua Audit dan Jaminan, ACCA dan penulis laporan Attract, Engage, Retain: Insights and Recommendations for Audit Talent Success, berkata, “Penelitian dalaman daripada kajian kami menyerlahkan ketiadaan tujuan yang difahami dan disatukan secara umum dalam kerjaya audit. Ini bukan sahaja menghalang bakal calon daripada memasuki kerjaya, tetapi juga menghalang profesional sedia ada daripada mengiktiraf bagaimana kerja mereka menjana nilai.”

 

 

ACCA

 

 

Amir Ghandar, ketua Pelaporan dan Jaminan, CA ANZ berkata, “Kaji selidik itu jelas menunjukkan keperluan untuk empati dan hormat di tempat kerja mengiktiraf kehidupan pelbagai seseorang kakitangan. Orang juga perlu dapat melihat diri sendiri melalui pemimpin mereka, untuk melihat peluang dan kemungkinan kerjaya dalam cara yang mereka berasa boleh capai.”

 

Dari segi landskap Malaysia, Andrew Lim, Ketua Portfolio, ACCA Maritim Asia Tenggara berkata, “Organisasi perlu melaksanakan kemampanan dan mempromosi keseimbangan kehidupan-kerjaya sebagai langkah strategik penting bagi menarik dan mengekalkan bakat-bakat di dalam industri. Melaksanakannya bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan kakitangan, tetapi juga menyemai budaya inovasi, tujuan dan daya tahan di dalam kerjaya ini.”

 

 

 

 

Lebih daripada separuh responden kaji selidik adalah Gen Y/Milenials berusia 25-42 tahun, dengan 37% daripadanya adalah juruaudit sedia ada, 33% bekas juruaudit dan bakinya mempertimbangkan juruaudit sebagai kerjaya masa hadapan.

 

Walaupun firma-firma audit melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani kebimbangan ini, isu teras yang berlarutan ini memberi isyarat mengenai keperluan untuk perubahan transformatif. Misalnya, kaji selidik turut mendedahkan kesungguhan untuk pelaporan mampan dan jaminan dalam kalangan profesional juruaudit sedia ada dengan mereka yang berpotensi menyertai kerjaya ini. Ini memberikan peluang tarikan bakat yang unik untuk diraih firma-firma audit.

 

 

ACCA

 

 

Lima tema terbit daripada kaji selidik bagi menyelesaikan krisis semasa ini:

Isu utama keseimbangan kehidupan-kerja: budaya tempat kerja yang tidak menyokong perlu ditangani, dengan penekanan lebih kepada persekitaran kerja yang menyokong iaitu mengiktiraf keperluan dan kesejahteraan peribadi.

 

Ganjaran saksama: beban kerja berat semasa kemuncak musim pengauditan hendaklah diberi ganjaran dan jika tidak ditangani boleh memberi impak lebih lagi dari segi usaha menarik dan mengekalkan bakat di masa hadapan.

 

Kenaikan kerjaya dan kepelbagaian kerja: tangga kerjaya tradisional tidak lagi menawan juruaudit profesional muda. Firma-firma perlu mencari kaedah membangunkan ‘career lattice’, bagi menawarkan kepelbagaian peranan lebih lagi dan bekerja bagi memudahcara kecenderungan dan minat luar juruaudit.

 

Jaminan kemampanan dan pelaporan: kerja ini dilihat sebagai pendorong tujuan dan menawarkan harapan yang jelas untuk kerjaya audit dengan 48% daripada bukan juruaudit berkata kerja sedemikian boleh mempengaruhi mereka untuk menyertai kerjaya dan 40% juruaudit mengatakan kerjaya sedemikian boleh meyakinkan mereka untuk kekal.

 

Mengguna pakai teknologi untuk kekal relevan: mereka yang mempertimbangkan untuk memasuki alam  kerjaya perlu tahu menggunapakai teknologi canggih. Sementara firma besar atau Big Four dan peringkat pertengahan boleh memenuhi hasrat tersebut, tetapi tidak sama bagi firma-firma kecil. Menyambungkan jurang teknologi adalah strategik penting bagi kerjaya ini.

 

 

ACCA

 

 

Laporan ini menyarankan bakat yang baharu menyertai untuk merasai pengalaman teknologi canggih daripada awal. Ghandar berkata, “Peluang untuk pendedahan dan latihan di dalam teknologi canggih adalah penarik utama bagi profesional muda, dan kohort ini dengan perspektif segar serta benar-benar mahir digital di mana banyak idea cemerlang bagi masa hadapan pengauditan dapat dicetuskan.”

 

Diolas berkata, “Juruaudit berperanan sebagai tulang belakang kebolehpercayaan kewangan, memastikan ketepatan dan ketelusan sambil membina kepercayaan dan akauntabiliti. Dengan amalan audit yang teguh, perniagaan bukan sahaja berkembang maju tetapi juga menarik pelaburan, mengukuhkan kestabilan pasaran modal dan menyumbang kepada masa depan ekonomi yang makmur untuk semua.”

 

“Dengan kerjaya juruaudit terus berevolusi, organisasi perlu lebih proaktif di dalam menyerapkan keperluan-keperluan dan perubahan di dalam industri,” kata Lim.

 

“ACCA komited untuk menyokong komuniti dan ahli kami, memastikan mereka kekal di barisan hadapan dalam amalan terbaik dan inovasi, mengekalkan bakat dan menggalakkan pertumbuhan di dalam kerjaya.”

 

Menyampaikan mesej ini agar ia bergema dengan juruadit profesional sedia ada dan bakal turut serta, seharusnya membawa kepada hasil positif di dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat. - DagangNews.com