Kerjaya pasca-COVID perlu miliki pelbagai kemahiran - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Kerjaya pasca-COVID perlu miliki pelbagai kemahiran - Muhyiddin

PUTRAJAYA 10 Okt - Kerjaya pada masa depan menuntut masyarakat untuk memiliki kepelbagaian kemahiran dan aneka pengkhususan yang tidak lagi memfokus kepada satu bidang sahaja, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, peralihan tersebut ekoran perubahan norma hidup kesan daripada wabak COVID-19 yang menukar corak kerja.

 

“Pengkhususan atau kepakaran dalam pelbagai bidang pada ketika ini harus menjadi keutamaan dalam mendepani persekitaran kerja pasca-pandemik tersebut tidak lama lagi,” katanya.

 

Beliau berucap demikian pada Persidangan Minda Malaysia 2021: Merapatkan Jurang Kemahiran dengan tema Belia Berkemahiran Pemangkin Pemulihan Negara secara maya pada Sabtu.

 

Program julung kali itu dianjurkan oleh Yayasan MyProdigy Malaysia, Thriving Talents dan Kita Anak Malaysia dengan tiga sesi melibatkan 32 ahli panel selain disertai lebih 1,000 peserta.

 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, impak penularan COVID-19 sejak awal tahun lalu telah menggantikan hidup manusia di seluruh dunia mengadaptasi suasana baharu.

 

Apatah lagi lepasan sekolah, graduan universiti dan belia muda yang akan memasuki pasaran buruh ketika pandemik berjaya diurus hasil Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

“Norma sudah menjadi lazim, mesti memakai pelitup di luar, ada jarak fizikal waima kerja dari rumah adalah rutin dan hal ini membentuk transisi Revolusi Industri (IR) 4.0,” jelas Muhyiddin.

 

Transformasi tidak dijangka itu ujarnya, memberi kesan besar landskap pasaran tenaga kerja seluruh dunia termasuk Malaysia apabila kurang permintaan terhadap kerja berintensif buruh.

 

Perubahan itu bukan sahaja mengecilkan peluang kerjaya, bahkan jika tidak diurus dengan baik, negara berdepan cabaran menawarkan kuantiti dan kualiti kepada graduan prospektif.

 

Ini katanya, selari dengan laporan Forum Ekonomi Dunia bertemakan Kerja Hari Esok pada tahun lalu yang mengunjurkan trend permintaan kerja kelak lebih kepada kemahiran baharu.

 

“Justeru, anak muda hari ini perlu memperlengkapkan diri dengan kepelbagaian kemahiran tambah nilai lain bagi diseimbangkan kepada bidang konvensional sedia ada,” tegas beliau.

 

Muhyiddin malah optimis, kemahiran data, kecerdasan buatan atau pengkomputeran awan, mampu membantu bakal graduan mencipta banyak peluang kerja tanpa ada lagi sempadan.

 

Pada masa sama, beliau menyarankan komuniti remaja menyiapkan diri sendiri dengan ilmu digital agar mereka dapat bersedia lebih awal bagi memenuhi permintaan kerja di pasaran.

 

Tidak ketinggalan jelas beliau, kemahiran kendiri lain termasuk intrapersonal, interpersonal, kecerdasan emosi, pemikiran analitik, kreatif, kritikal dan daya inovasi yang memang wajib.

 

“Krisis kesihatan global menuntut banyak perubahan dan hikmahnya, ia menyedarkan kita kepentingan keperluan teknologi terkini untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya. 

 

Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda melihat wabak COVID-19 dari sudut positif untuk mencabar diri menjadi insan lebih baik dan memberi manfaat kepada masyarakat. - DagangNews.com