Kerjaya Prospek dijangka raih projek selain hartanah menerusi perjanjian bersama Samsung C&T | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek dijangka raih projek selain hartanah menerusi perjanjian bersama Samsung C&T

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - RHB Investment Bank menjangkakan perjanjian rangka kerja bersama Samsung C&T (KL) Sdn. Bhd. akan membuka peluang lebih luas kepada Kerjaya Prospek Group Berhad untuk meraih projek yang lebih sofistikated berbanding hanya berkaitan hartanah. 

 

Firma itu berkata, perjanjian itu membolehkan Kerjaya Prospek memanfaatkan kekuatan serta kepakaran teknikal antarabangsa Samsung C&T dengan kumpulan itu memiliki kemampuan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pembinaan.

 

Pada masa sama, kumpulan itu memiliki kemahiran dalam melengkapkan pembinaan projek yang lebih mencabar dan kompleks.

 

"Rangka kerja itu diperkukuhkan menerusi terbitan 25,239,000 saham biasa baharu dalam Kerjaya Prospek pada harga terbitan RM1.60 sesaham kepada Vista Contracting dan Investment Global Pte Ltd. 

 

"Hasil perolehan daripada terbitan sebanyak RM40.4 juta akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Kerjaya Prospek memetrai perjanjian rangka kerja dengan Samsung C&T (KL) untuk mendapatkan pelbagai peluang perniagaan bagi kontrak pembinaan bernilai lebih RM300 juta.

 

Samsung C&T adalah anak syarikat milik penuh syarikat pembinaan dan kejuruteraan Korea Selatan Samsung C&T Corporation.

 

Perjanjian itu adalah bagi tempoh lima tahun dan akan diperbaharui secara automatik secara bergilir selepas tamat tempoh untuk tempoh satu tahun sehingga ia ditamatkan oleh mana-mana pihak. 

 

Firma itu berkata, seandainya kedua-dua pihak bersetuju untuk mendapatkan sesuatu projek, perjanjian rangka kerja itu akan dimaklumkan kepada penganjur tender terbabit.

 

"Sekiranya porjek yang disasarkan berjaya diraih oleh Kerjaya Prospek atau Samsung C&T, perjanjian kerjasama melibatkan projek itu akan diwujudkan melibatkan kedua-dua pihak," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.42. - DagangNews.com