Kerjaya Prospek menyerlah disokong pelbagai projek, RHB Investment naikkan harga sasaran kepada RM1.93 sesaham | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek menyerlah disokong pelbagai projek, RHB Investment naikkan harga sasaran kepada RM1.93 sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 

KUALA LUMPUR 17 Jan - RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Kerjaya Prospek Group Berhad dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.93 sesaham berbanding RM1.75 sebelum ini.

 

Dengan pelbagai prospek menyerlah yang menyokong trend penerimaan projek, firma penyelidikan itu percaya terdapat lebih banyak ruang untuk saham itu didagangkan lebih tinggi daripada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 13 kali ganda bagi tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Selepas ia memperoleh kontrak keempat tahun ini yang bernilai RM112 juta semalam, firma itu berkata buku pesanan pembinaan kumpulan berjumlah RM4.7 bilion menjana pendapatan bagi tempoh empat tahun.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM111.8 juta bina apartmen servis di Setapak

 

Selain pembangunan Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2) di Pulau Pinang yang mungkin menjamin aliran pekerjaan kepada Kerjaya Prospek, firma itu percaya terdapat peluang lain untuk digarap kumpulan itu.

 

Setelah meraih kerja bernilai sekitar RM1.4 bilion di Batu Kawan di bawah Aspen Group Holdings, firma tersebut berpendapat bahawa Kerjaya Prospek berpeluang baik memenangi bidaan untuk kerja bangunan perindustrian oleh Aspen.

 

“Hal ini demikian kerana Aspen menerusi Aspen Vision Properties, memiliki pegangan dalam Global Vision Logistics, iaitu pemaju Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) yang berkeluasan 28.7 hektar.

 

“Oleh sebab Kerjaya Prospek pernah menerima beberapa tawaran kerja sebelum ini daripada Aspen, kemungkinan untuk meraih kerja di bawah seliaan SAILH (khususnya Fasa 2) tidak dapat disangkal, lebih-lebih lagi apabila kerjasama tersebut membabitkan kerjasama Kerjaya Prospek dengan Samsung C&T,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu turut berkata kerjasama Kerjaya Prospek dengan Samsung C&T mungkin membolehkankan ia memanfaatkan pelaburan akan datang dalam sektor teknologi dan mungkin dalam pusat data, memandangkan Samsung C&T membangunkan pusat data 40MW untuk IGIS Asset Management di Vietnam.

 

Di samping itu, RHB Investment turut melihat beberapa peluang kerja lain yang mungkin muncul daripada projek pembangunan Elmina West yang diusahakan oleh Eastern & Oriental (dengan anggaran nilai pembangunan kasar [GDV] garis asas: RM1.5 bilion).

 

RHB Investment mengekalkan unjuran pendapatan kerana tawaran kerja baharunya menepati andaian penambahan kerja firma itu bagi FY24.

 

Namun, ia meletak sasaran P/E lebih tinggi 14 kali ganda (daripada 12.5 kali ganda) untuk bahagian pembinaan bagi menunjukkan paras nilai yang pernah Kerjaya Prospek diniagakan ketika fasa sektor pembinaan meningkat pada pertengahan 2017.

 

Pada pukul 10:05 pagi ini, saham Kerjaya Prospek menyusut 1 sen atau 0.6% kepada RM1.69 dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.14 bilion.  - DagangNews.com