Kerjaya Prospek peroleh kontrak pembinaan Astrum Ampang bernilai RM710.1 juta | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek peroleh kontrak pembinaan Astrum Ampang bernilai RM710.1 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Anak syarikat Kerjaya Prospek Group Berhad, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd., berjaya memperoleh kontrak bernilai RM710.1 juta daripada Nikmat Merpati Sdn. Bhd. bagi pembinaan bangunan utama dan kerja-kerja luaran bagi projek pembangunan perumahan Astrum Ampang.

 

Projek perumahan di atas kawasan seluas 2.73 hektar itu terletak berhampiran kawasan Jalan Jelatek dan Jalan Ampang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.6 bilion, melibatkan enam blok bangunan merangkumi campuran 5,255 ruang pejabat kecil rumah kecil (SOHO), apartment dan ruangan runcit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Tee Eng Tiong berkata, kontrak terbaharu itu bukan sahaja menjadi pencapaian penting bagi kumpulan itu tetapi juga mewakili kontrak terbesar yang pernah dimenangi.

 

"Ia membuktikan rekod cemerlang kami dan memberi gambaran mengenai kemampuan kami untuk mendapatkan projek seperti ini.

 

"Syarikat ini akan terus menggunakan kepakarannya untuk terus mendapatkan kontrak baharu pada masa akan datang.

 

"Negara sedang dalam fasa pemulihan daripada impak COVID-19, kami kekal optimis dalam mencapai kontrak kami dan sasaran RM1.2 bilion bagi FY22," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Astrum Ampang adalah kawasan kediaman dengan ketersambungan yang lancar, jelas dengan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 150 meter yang menghubungkan pembangunan ke Stesen LRT Jelatek dan hanya satu hentian daripada Stesen Setiawangsa yang akan bersambung dengan MRT3.

 

Sementara itu, Pengarah Wilayah Tengah Setia Awan, Ng Teck Hua berkata, kerjasama strategik itu akan memberi manfaat kepada pembangunan Astrum Ampang.

 

"Sebagai kontraktor utama senaraian awam, Kerjaya Prospek terkenal dengan mutu kerja yang berkualiti, teknologi pembinaan termaju dan portfolio mengagumkan yang menjangkau bertahun-tahun dalam industri pembinaan.

 

"Kerjasama ini akan mengukuhkan lagi DNA unik Setia Awan dalam menyediakan produk hartanah yang berkualiti, inovatif dan mampan kepada pembeli rumah," katanya.

 

Projek pembangunan oleh Setia Awan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 53 bulan bermula Jun 2022. - DagangNews.com