Kerjaya Prospek raih 2 kontrak bernilai RM95.1 juta bagi projek pembinaan di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih 2 kontrak bernilai RM95.1 juta bagi projek pembinaan di Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Kerjaya Prospek Group Berhad memperoleh dua kontrak bernilai RM95.1 juta daripada dua anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O) bagi projek pembinaan di Pulau Pinang.

 

Kumpulan itu berkata, unit milik penuhnya, Permatang Bakti Sdn. Bhd., telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd.

 

Katanya, kontrak bernilai RM69.23 juta itu melibatkan kerja-kerja superstruktur untuk fasa dua Jambatan Marin Gurney, sebahagian daripada cadangan Pembangunan Seri Tanjung Pinang (STP2). 

 

"Pembinaan dijadualkan itu bermula pada 22 Januari 2024 dan ia dijangka siap dalam tempoh 24 bulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.​

 

Kumpulan itu dalam satu makluman berasingan berkata, anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. meraih LOA bernilai RM25.91 juta daripada Persada Mentari Sdn. Bhd. berkaitan kerja-kerja kontrak cerucuk dan sub-struktur untuk cadangan pembinaan apartmen servis 50 tingkat yang terdiri daripada 261 unit di Pulau Andaman, Pulau Pinang.

 

Katanya, pembinaan untuk projek ini ditetapkan untuk bermula pada 22 Januari ini dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

 

Ia menandakan kontrak ketiga Kerjaya Prospek terima daripada E&O. Pada 3 Januari lalu, kumpulan itu mengumumkan kontrak bernilai RM170.94 juta daripada Persada Mentari bagi pembangunan bangunan 45 tingkat di Pulau Andaman.

 

Ini dianggap sebagai urus niaga berulang, memandangkan Datuk Tee Eng Ho, pengerusi bukan eksekutif bukan bebas kumpulan itu, ialah pengerusi eksekutif E&O dan pemegang saham utama tidak langsung E&O.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu telah memperoleh nilai kontrak terkumpul sehingga kini sebanyak RM266.1 juta.

 

"Kami berhasrat untuk terus mengembangkan buku pesanan bagi memenuhi sasaran dalaman kami sebanyak RM1.2 bilion bagi 2024," katanya. - DagangNews.com