Kerosakan pencawang masuk utama Yong Peng punca gangguan elektrik di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kerosakan pencawang masuk utama Yong Peng punca gangguan elektrik di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan pada pukul 3.02 petang hari ini.

 

Syarikat utiliti negara itu berkata, gangguan itu bermula pada pukul 12.39 tengah hari dan ia berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Johor.

 

"Kerosakan itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

 

"Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

TNB juga sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan itu.

 

BACA JUGA: Beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia 'bergelap' selepas terputus bekalan elektrik

 

Terdahulu, terdapat beberapa kawasan terjejas di Lembah Klang termasuk Petaling Jaya, Shah Alam, Cheras, Bandar Sunway dan Wangsa Maju selain beberapa kawsan di Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Perak serta Pulau Pinang.

 

Gangguan itu juga menyebabkan berlakunya gangguan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 selain menjejaskan perkhidmatan di beberapa hospital awam.

 

Bagi sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan orang ramai boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454. - DagangNews.com