KUALA LUMPUR 28 Nov - Kerugian bersih RM51 juta yang dicatatkan Tan Chong Motor Holdings Berhad pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) adalah jauh lebih teruk berbanding unjuran kerugian MIDF Research.
Ia menjadikan kerugian terkumpul kumpulan itu bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23) sebanyak RM74 juta lebih lemah berbanding unjuran firma itu dan konsensus.
"Kerugian yang lebih teruk berbanding unjuran kami adalah disebabkan kelemahan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding jangkaan selain jualan domestik yang perlahan serta kerugian operasi di Vietnam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Hasil kumpulan pada 3QFY23 turun 11% kesan sumbangan lebih rendah daripada segmen automotif (penurunan 17% kepada RM592 juta) berikutan sentimen pasaran yang lemah dan saingan sengit dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
Bahagian automotif mencatatkan kerugian bersih RM20 juta memandangkan hasil yang lebih rendah, campuran jualan yang tidak menggalakkan dan margin yang lebih lemah.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) daripada operasi lain jatuh 78% tahun ke tahun kepada RM7.3 juta disebabkan kerugian tukaran mata wang asing bersih ke atas urus niaga dan baki tertunggak dalam mata wang asing.
Bahagian perkhidmatan kewangan juga menyaksikan EBITDA yang lebih rendah (penurunan 26%) diberikan peruntukan yang lebih tinggi untuk kerugian rosot nilai ke atas penghutang sewa beli.
Firma penyelidikan itu berkata, operasi Indochina masih menunjukkan prestasi buruk dengan Vietnam mencatatkan kerugian lebih besar sebanyak RM18 juta iaitu penurunan sebanyak 86%.
Katanya, penamatan pengedaran eksklusif kenderaan kenderaan import sepenuhnya (CBU) Kumpulan MG di Vietnam berkuat kuasa Jun 2023 memberi kesan lebih teruk kepada prestasi Tan Chong di Vietnam.
MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 92 sen berbanding 94 sen sesaham. - DagangNews.com