Kerugian Pos Malaysia menguncup kepada RM140.7 juta meskipun hasil menurun pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Kerugian Pos Malaysia menguncup kepada RM140.7 juta meskipun hasil menurun pada FY23

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - Pos Malaysia Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai lebih kecil kepada RM140.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 walaupun terdapat pengurangan dalam hasil.

 

Kumpulan itu berkata, penurunan 17.1% dalam kerugian dicapai walaupun penurunan hasil sebanyak 4.6% kepada RM1.87 bilion berbanding tahun kewangan sebelumnya.

 

Bagi suku keempat, kumpulan itu merekodkan penurunan tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak 1.21% dalam hasil kepada RM461.6 juta.

 

Bagaimanapun katanya, ia juga menyaksikan penurunan tahun ke tahun sebanyak 35.9% dalam kerugian kepada RM66.5 juta bagi suku yang sama.

 

Peningkatan itu dicapai di tengah-tengah cabaran seperti ketidaktentuan makroekonomi dan kebangkitan semula dalam membeli-belah fizikal oleh pengguna, yang mengurangkan keperluan untuk perkhidmatan bungkusannya, katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Charles Brewer berkata, hasil yang dipertingkatkan, pengoptimuman aset, pengurusan kos yang ketat dan transformasi membawa kepada prestasinya yang lebih baik.

 

"Kami memberi tumpuan untuk melaksanakan strategi transformasi kami, memperkemas segmen yang tidak menguntungkan, memajukan perniagaan yang diterajui margin, memperjuangkan kemampanan dan menyelaraskan dengan pelan hala tuju ESG kami," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Katanya, kumpulan itu juga akan terus memberi tumpuan kepada pekerja dan pelanggannya.

 

Antara anak syarikat kumpulan itu, Pos Aviation akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk perjalanan udara, perkhidmatan pengendalian darat dan katering dalam penerbangan.

 

Pada masa yang sama, Pos Logistics menjajarkan semula fokusnya ke arah sektor automotif, logistik pihak ketiga dan pergudangan untuk memastikan ia kekal relevan dalam pasaran yang berkembang pesat.

 

Katanya, pertumbuhan ketara juga dijangka dalam perniagaan pajak gadai Islamnya manakala perniagaan baharunya yang diterajui margin seperti e-fulfilment dan kedai serbaneka Pos Shop akan diperluaskan. - DagangNews.com