Kerugian segmen pos, pertahanan terus jejas untung bersih DRB-Hicom, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Kerugian segmen pos, pertahanan terus jejas untung bersih DRB-Hicom, kata PublicInvest

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 Mac - Keuntungan bersih DRB-Hicom pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) terus terjejas akibat kerugian sektor pos dan pertahanan, kata Public Investment Bank Berhad (PublicInvest).

 

Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan bersih DRB-Hicom merosot 62.6% (QoQ) dengan kerugian sebelum cukai (LBT) untuk perniagaan Pos melebar QoQ kepada RM83.8 juta berbanding LBT sebanyak RM30.8 juta pada 3QFY23.

 

Katanya, ini sejajar dengan hasil dan margin yang lebih rendah disebabkan oleh lebihan bekalan dan persaingan sengit dengan pemain e-dagang utama beralih kepada meningkatkan keupayaan penghantaran mereka sendiri.

 

"Segmen aeroangkasa dan pertahanan (A&D) juga mengalami kerugian, mencatatkan LBT sebanyak RM10.9 juta berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.6 juta pada 3QFY23 berikutan kekurangan penambahan pesanan baharu oleh DEFTECH.

 

"Ini sebahagiannya diimbangi oleh PBT yang lebih tinggi daripada sektor Perbankan, sejajar dengan pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi didorong oleh pertumbuhan dalam jumlah pembiayaan yang disumbangkan oleh asas pelanggan yang semakin meningkat," katanya dalam nita penyelidikan hari ini.

 

Kata PublicInvest, segmen perniagaan teras iaitu automotif menunjukkan sedikit perubahan dengan keuntungan RM154.9 juta (+1.6% YoY, -3.9% QoQ), hasil jualan yang lebih baik walaupun merekodkan pendapatan yang lebih rendah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung sebelum cukai DRB-HICOM bagi FY23 naik 9.0% kepada RM446.9 juta

Ujar firma itu, ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan operasi (13.9% YoY), perbelanjaan pembiayaan yang lebih tinggi (9.6% YoY) dan ketiadaan keuntungan pelupusan sebanyak RM119.5 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

"Walaupun Jumlah Volum Industri (TIV) Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang pada 2023 dengan 799,731 kenderaan baharu didaftarkan (2023: 721,177 unit), TIV dijangka menurun sebanyak 7.5% YoY kepada 740,000 unit pada 2024," jelasnya.

 

Tambah PublicInvest, pesanan jualan kereta menunjukkan tanda-tanda yang tidak kukuh disebabkan beberapa faktor termasuk kos sara hidup yang tinggi dan permintaan yang lebih perlahan untuk barangan yang boleh ditangguhkan.

 

Katanya, ini disebabkan kebimbangan terhadap pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan kekurangan pemangkin boleh menyekat pertumbuhan dalam jumlah jualan sektor automotif.

 

"Di samping itu, persaingan sengit daripada kemasukan pelancaran model baharu dan penetapan harga yang kompetitif dalam pasaran boleh menekan margin sektor dan mengekang pertumbuhan pendapatan walaupun pesanan tertunggak kekal kukuh," katanya.

 

PublicInvest menurunkan saranan DRB-HICOM kepada 'Neutral' dengan harga sasaran (TP) baharu pada RM1.70 sesaham daripada RM2.10 sesaham.

 

DRB-HICOM merupakan konglomerat Malaysia yang mempunyai tiga divisyen utama iaitu automotif, perkhidmatan dan pembangunan hartanah dengan syarikat utama antaranya Proton, Bank Muamalat, Pos Malaysia dan Puspakom.- DagangNews.com