Kes pecah amanah libat peguam serius, babit nilai kerugian RM88 juta - Pengarah JSJK PDRM | DagangNews Skip to main content

Kes pecah amanah libat peguam serius, babit nilai kerugian RM88 juta - Pengarah JSJK PDRM

Polis menggesa Majlis Peguam agar meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman terhadap salah laku peguam.

KUALA LUMPUR 26 Jan - Profesion peguam dipandang mulia kerana mereka terlibat menegakkan undang-undang dan memerlukan pengamalnya menjunjung tinggi etika.

 

Namun seperti kerjaya lain, peguam turut tidak terkecuali berdepan isu salah laku jenayah dan lebih membimbangkan, ia melibatkan jumlah kerugian yang besar walaupun yang terbabit hanya segelintir.

 

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat 88 kes pecah jenayah amanah membabitkan kerugian RM88.35 juta direkodkan bagi tempoh antara tahun 2021 hingga 2023.

 

Meski pun angka yang terlibat itu hanya 0.4 peratus daripada 21,570 peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam, namun nilai kerugian mececah purata RM998,333.35 bagi satu kes.  

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah berkenaan memberi gambaran bahawa kes pecah amanah dalam kalangan peguam tidak harus dipandang ringan.

 

"Justeru PDRM menggesa pembabitan Majlis Peguam untuk meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman yang dilaksanakan dalam menangani isu salah laku dalam kalangan peguam," katanya pada sidang media hari ini.

 

jsjk
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf./Gambar PDRM

 

Menurut Ramli, terdapat lapan kes pecah amanah dalam kalangan peguam yang dilaporkan untuk tahun ini iaitu setakat 24 Januari lalu yang telah mencecah nilai kerugian RM7.4 juta.

 

Katanya, dalam satu kes pada 19 Januari lalu, seorang ahli perniagaan berusia 60 tahun membuat laporan berhubung kes pecah amanah jenayah yang dilakukan oleh peguam dilantiknya bagi menguruskan penjualan rumah di Negeri Sembilan dengan nilai kerugian RM333,323.

 

"Berdasarkan siasatan awal, suspek (peguam) serta ejen hartanah telah menguruskan penjualan rumah milik pengadu sekitar Ogos tahun lalu namun hasil jualan tidak diserahkan kepada pengadu.

 

"Pada awal bulan ini, pengadu telah pergi ke firma guaman berkenaan dan dimaklumkan oleh kakitangan di sana bahawa wangnya telah digunakan oleh pemilik firma bagi tujuan lain," jelasnya.

 

Ramli berkata, pada hari sama pengadu telah diberikan sekeping cek bernilai RM333,323 namun cek itu gagal ditunaikan kerana pembayarannya dihentikan oleh pemilik firma guaman berkenaan atas sebab tidak diketahui.

 

"Semakan yang dilakukan dengan pejabat tanah mendapati rumah milik pengadu telah dipindah milik kepada pemilik baharu dan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," tegasnya.

 

Kata Ramli, dalam kes seperti ini, PDRM mencadangkan agar prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang transaksi akaun tersebut.

 

"Jika langkah ini dapat dilaksanakan ia akan menjadi satu mekanisme yang efektif bagi mencegah pecah amanah jenayah oleh peguam malah mengelakkan berlakunya pengubahan wang haram," katanya.- DagangNews.com