Kesan langsung rasionalisasi subsidi diesel kepada inflasi utama adalah terhad, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kesan langsung rasionalisasi subsidi diesel kepada inflasi utama adalah terhad, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - RHB Investment meramalkan rasionalisasi subsidi diesel mempunyai kesan langsung terhad kepada inflasi utama serta sedikit kesan positif kepada kedudukan fiscal dan nilai ringgit. 

 

Katanya, kerajaan telah menguatkuasakan harga runcit baharu diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.35 seliter berkuat kuasa pada 10 Jun 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari segi inflasi, mereka berpendapat kesan langsung inflasi utama adalah kecil, dengan potensi kenaikan harga kurang daripada 0.1%.

 

 

"Ia didorong beberapa faktor seperti subsidi akan diteruskan bagi kebanyakan kenderaan komersial berkuasa diesel dan pengangkutan awam manakala impak disesel kepada inflasi secara keseluruhannya dalah sangat kecil.

 

"Analisis kuantitatif kami mencadangkan bahawa bagi setiap kenaikan 1% dalam harga diesel, inflasi bahan api akan meningkat sebanyak 0.04%, yang diterjemahkan kepada 0.002% daripada inflasi utama.

 

"Dalam tempoh terdekat, kerajaan akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan bagi membendung kemungkinan kenaikan harga yang tidak seimbang berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment menjangkakan, bahawa rasionalisasi subsidi petrol RON95 mungkin ditangguhkan pada akhir 2024 kerana kerajaan mungkin akan menilai kesan pelarasan harga diesel ke atas trajektori inflasi dan ekonomi.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan butiran lanjut mengenai rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan dikeluarkan semasa pembentangan Bajet 2025, yang dijadualkan pada 11 Oktober 2024.

 

"Kesan pelarasan subsidi petrol RON95 terhadap inflasi akan menjadi lebih besar disebabkan oleh asas pengguna yang lebih besar di mana ia melibatkan kumpulan pengguna persendirian yang lebih besar dan petrol mempunyai wajaran ketara sebanyak 5.5% dalam CPI (berbanding diesel pada 0.2% ).

 

"Penyasaran semula rasionalisasi subsidi RON95 memerlukan pendekatan yang khusus dan berperingkat bagi mengelakkan lonjakan mendadak dalam kadar inflasi," katanya.- DagangNews.com