Kesan ratifikasi CPTPP positif buat Malaysia tetapi mesti kukuhkan ekonomi domestik - MIER | DagangNews Skip to main content

Kesan ratifikasi CPTPP positif buat Malaysia tetapi mesti kukuhkan ekonomi domestik - MIER

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 14 Okt – Keputusan Malaysia untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menghantar isyarat positif kepada pelabur asing sambil turut memastikan tempat Malaysia dalam perjanjian perdagangan baharu itu bersama-sama rakan dagangan baharu.

 

Felo Penyelidik Kanan dan Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar berkata, penyertaann Malaysia dalam CPTPP dijangka terus merancakkan ekonomi negara.

 

“CPTPP akan memberi kesan positif kepada beberapa industri seperti elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, bahan api mineral termasuk minyak, produk getah serta peralatan optik dan perubatan," kata beliau kepada DagangNews.


 

Dr Shankaran Nambiar
        Dr Shankaran Nambiar

 


Bertentangan dengan sesetengah pendapat, Nambiar menegaskan Malaysia akan rugi jika tidak menyertai perjanjian perdagangan antarabangsa terbabit dan kehilangan manfaat yag ditawarkan oleh CPTPP.

 

Pelaksanaan CPTPP dijangka membawa kepada peningkatan eksport yang diunjurkan berjumlah AS$354.7 bilion dan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan kukuh diunjurkan pada 8.5%s daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2030.

 

Pelaburan yang memasuki Malaysia pula dijangka meningkat sebanyak tambahan AS$112.3 bilion bagi tempoh 2021-2030.

 

CPTPP yang dimeterai pada 8 Mac 2018, telah diratifikasi dan dikuatkuasakan secara berperingkat sejak Disember 2018 oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru.

 

Perjanjian itu akan dikuatkuasakan di Malaysia pada 29 November 2022.


 

MITI

 


Bagaimanapun, pada masa yang sama Nambiar menegaskan bahawa Malaysia harus mengambil langkah pembaharuan struktur dalam jangka sederhana untuk memajukan negara terutamanya dengan jangkaan kelembapan global akan berlaku pada tahun hadapan dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

 

"Kita menjangkakan ekonomi dunia akan meleset pada tahun hadapan, dan kita harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan ini,” katanya.

 

Sebagai contoh ujar beliau, Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini telah mengambil kira unjuran tahun hadapan, dan bajet yang dibentangkan itu juga mengakui bahawa ekonomi belum pulih sepenuhnya dan akan berhadapan dengan cabaran luar.

 

Oleh itu, kerajaan harus mengambil kira tiga perkara iaitu mengekalkan tahap daya maju dan kebajikan isi rumah, terutamanya bagi golongan yang lebih kurang bernasib baik, menggalakkan ekonomi yang dipacu oleh permintaan domestik dan meningkatkan kapasiti sektor swasta domestik sekiranya Bajet 2023 dibentangkan semula.

Bajet2023

"Bajet 2023 cuba menangani ketiga-tiga isu ini. namun usaha yang lebih menyeluruh dan sistematik perlu diambil," ujar beliau lagi.

 

Nambiar turut menegaskan bahawa Bajet 2023 seharusnya mengekalkan pembangunan jangka panjang dan rangsangan yang amat diperlukan kepada ekonomi semasa kemelesetan tahun depan. – DagangNews.com