KUALA LUMPUR 21 Sept - Ahli Kumpulan MMC, Johor Port Berhad (Johor Port) melalui Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port telah berjaya merangkul Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang 2022 Sektor Swasta dan Anugerah Pemimpin Kesatuan Sekerja Contoh 2022 Sektor Swasta di Majlis Perhimpunan Keluarga Kesatuan Sekerja Se-Malaysia 2022.
Kesatuan yang diwakili presidennya, Suratmin Alwee menerima anugerah itu dalam majlis tersebut yang dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, mereka berbesar hati dengan anugerah yang diterima Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port.
"Penganugerahan ini memberi inspirasi kepada kami untuk melaksanakan inisiatif dan usaha lebih besar ke arah pembangunan sumber manusia yang menggalakkan budaya pembelajaran serta berkepimpinan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan pekerja kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh menyifatkan, pengiktirafan yang diberikan kepada kesatuan tersebut merupakan suatu pencapaian yang baik,
Katanya, ia mencerminkan budaya kerja Kumpulan MMC yang menggalakkan persekitaran kerja progresif di dalam syarikat-syarikat operasi di bawah kumpulan itu.
Selain memperkasa peranan kesatuan sekerja, majlis perhimpunan dan penganugerahan itu bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada penggerak kesatuan sekerja yang turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Sebelum ini, Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port baru sahaja menerima Anugerah Kepimpinan Kesatuan Sekerja Negeri Johor yang disampaikan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia, Kamal Pardi pada 11 September 2022. - DagangNews.com