Kesemua 19 parti Kerajaan Perpaduan fokus kepada pemerkasaan ekonomi, pelaburan | DagangNews Skip to main content

Kesemua 19 parti Kerajaan Perpaduan fokus kepada pemerkasaan ekonomi, pelaburan

Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya, semalam sepakat tumpu pemerkasaan ekonomi negara.

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kesemua 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan sepakat bahawa Malaysia mesti terus menumpukan perhatian kepada soal pemerkasaan ekonomi dan pelaburan agar kehidupan rakyat lebih makmur dan sejahtera.

 

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, malam tadi.

 

“Semua komited dan beriltizam untuk memastikan negara terus stabil bagi meraih kepercayaan tinggi pelabur luar untuk datang ke Malaysia.

 

"Selain itu Malaysia mesti terus mempertahan identiti kemajmukan yang berteraskan negara bangsa yang progresif dan sederhana, bebas daripada sebarang anasir ekstremis yang mempolemik agama dan bangsa secara jumud yang memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Setiausaha Agung UMNO itu, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menekankan aspek kestabilan sebagai kunci utama untuk menjayakan pelbagai agenda pembangunan yang lebih diberikan keutamaan dan didambakan oleh rakyat di Borneo.

 

“Bahkan Sarawak merupakan contoh keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama bebas daripada sebarang fahaman ekstremisme agama yang songsang.

 

“Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga diberikan tanggungjawab untuk merencanakan program-program yang dapat memperkukuh lagi hubungan dan keserasian jitu seluruh warga parti-parti Kerajaan Perpaduan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya. - DagangNews.com