KESM Industries kembali catat untung bersih sebanyak RM1.05 juta bagi 6MFY24 berbanding kerugian RM2.26 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

KESM Industries kembali catat untung bersih sebanyak RM1.05 juta bagi 6MFY24 berbanding kerugian RM2.26 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - KESM Industries Bhd kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.05 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2023 (6MFY24) berbanding kerugian bersih sebanyak RM2.26 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15% dalam hasil, melonjak kepada RM125.3 juta dalam tempoh enam bulan pertama FY24 berbanding RM108.8 juta dalam tempoh sama bagi FY23.

 

Katanya, keputusan itu memberi penkanan terhadap komitmen kumpulan dalam menghasilkan pertumbuhan serta keuntungan yang mampan.

 

Bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24), kumpulan itu turut mencatatkan keuntungan sebanyak RM138,000 berbanding kerugian bersih sebanyak RM720,000 pada tahun lalu disokong peningkatan hasil kepada RM61.76 juta mengatasi RM55.9 juta pada 2QFY23.

 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif KESM, Sam Lim berkata, penambahbaikan itu mencerminkan fokus pihaknya dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran yang berkembang.

 

Beliau juga mengaitkan pemulihan itu didorong oleh pertumbuhan sihat dalam sektor semikonduktor automotif.

 

"Kumpulan memperuntukkan pelaburan strategik bagi meningkatkan sokongan pelanggan dalam sektor semikonduktor automotif, pada masa yang sama meluaskan skopnya untuk terlibat dalam segmen bukan automotif," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengani prospek, kumpulan itu berkata, majoriti pelaburannya adalah bagi meningkatkan pengeluaran volum bagi memenuhi keperluan pelanggan untuk cip yang lebih maju.

 

Selain itu, mereka juga menjangkakan permintaan jangka pendek yang lemah dalam sektor bukan automotif dan berkemungkinan menerima manfaat daripada lonjakan permintaan cip pemprosesan di pusat data dan aplikasi kecerdasan buatan. - DagangNews.com