KESM Industries rugi pada suku kedua, catat pendapatan lebih rendah sebanyak RM64.3 juta | DagangNews Skip to main content

KESM Industries rugi pada suku kedua, catat pendapatan lebih rendah sebanyak RM64.3 juta

KUALA LUMPUR 8 Mac - KESM Industries Bhd. merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.01 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2022 berbanding keuntungan bersih RM6.33 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 5.39% kepada RM64.3 juta daripada RM67.96 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Januari itu, untung bersih susut 8.3% kepada RM6.51 juta berbanding RM7.1 juta, sebaliknya pendapatan meningkat 2.95% kepada RM132.88 daripada RM129.07 juta. 

 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif KESM Industries, Sam Lim berkata, momentum cemerlang pada suku pertama telah terjejas dengan prestasi suku kedua akibat pandemik COVID-19.

 

Katanya, syarikat bertindak dengan pantas untuk menjaga kesihatan pekerja dan mengambil beberapa langkah untuk menangani kelewatan penghantaran.

 

"Penghantaran komponen dalam rantaian bekalan kekal ketat dan harga pula terus meningkat.

 

"Oleh itu, kumpulan sedang mengambil langkah strategik untuk mengecilkan perkhidmatan pembuatan elektronik dan menyelaraskan saiz tenaga kerja untuk memberi tumpuan yang lebih besar kepada aktiviti jualan pengujian dan burn-in," katanya.

 

Menurut beliau, kumpulan menyediakan perkhidmatan ujian dan burn-in kepada pelbagai jenis cip semikonduktor seperti modul tenaga bagi peranti mudah alih dan pemprosesan data dan alat pengesan.

 

Ketika dagangan berakhir petang ini, harga sahamnya susut 25 sen atau 2.67% kepada RM9.10 dengan 30,200 saham diniagakan. - DagangNews.com