Ketiadaan pemangkin jelas, AmInvestment kekal 'neutral' terhadap sektor perladangan | DagangNews Skip to main content

Ketiadaan pemangkin jelas, AmInvestment kekal 'neutral' terhadap sektor perladangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - AmInvestment Bank Research kekal 'neutral' terhadap sektor perladangan kesan ketiadaan pemangkin yang jelas selain berdepan prospek yang bercampur-campur.

 

Katanya, antara faktor positif di dalam sektor itu termasuk permintaan berdaya tahan daripada China selain peningkatan penggunaan biodiesel di Indonesia.

 

Bagaimanapun, pengeluaran output kelapa sawit yang tinggi di Malaysia dan Indonesia selain permintaan yang lemah daripada Kesatuan Eropah (EU) serta India memberi impak negatif kepada sektor itu.

 

"Kami akan menyemak naik penarafan sektor itu kepada 'overweight' sekiranya pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) adalah lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Antara faktor yang boleh menyumbang kepada penghasilan MSM yang lemah termasuk tekanan terhadap pokok kelapa sawit, cuaca kering dan kekurangan tenaga kerja.

 

"Pada waktu ini, tiada sebarang tanda pokok kelapa sawit berdepan tekanan selain isu kekurangan tenaga kerja di Malaysia sudah diselesaikan dengan kemasukan ramai pekerja asing pada hujung 2022 hingga pertengahan 2023," katanya dalam satu nota kajian. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan purata harga MSM adalah sebanyak RM4,000 setiap tan pada 2024 dengan bayangan julat dagangan antara RM3,500 dan RM4,500 bagi setiap tan.

 

Katanya, peningkatan harga MSM pada 2024 disokong oleh permintaan kukuh daripada industri biodiesel di Indonesia.

 

Penggunaan biodiesel Indonesia dijangka meningkat sebanyak 16.5% kepada 11.7 juta tan pada 2024 disebabkan oleh kesan tahun penuh bahan api B35.

 

Katanya, Indonesia mula melaksanakan program penggunaan biodiesel dengan campuran 35% bahan api berasaskan minyak sawit, dikenali sebagai B35, mulai Februari 2023.

 

“Walaupun B35 telah dilancarkan pada Februari 2023, ia hanya dilaksanakan pada Ogos kerana infrastruktur masih belum siap sepenuhnya. Penggunaan biodiesel Indonesia dianggarkan sebanyak 10 juta tan pada 2023,” katanya. - DagangNews.com