KUALA LUMPUR 10 Mac - Kenanga Research menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2022 kepada 5 hingga 5.5%, lebih rendah berbanding 5.5 hingga 6% sebelum ini, ekoran meningkatnya kesan buruk daripada ketidaktentuan dan risiko luaran dengan tercetusnya konflik Rusia-Ukraine.
Meskipun pendedahan ekonomi Malaysia dan hubungan perdagangan dengan Rusia dan Ukraine adalah minimum, tetapi kesan tidak langsung dan kitaran seterusnya masih boleh menjejaskan momentum pemulihan ekonomi, menurut firma itu.
Jelasnya, ekonomi domestik dijangka meraih momentum memandangkan Malaysia akan beralih kepada fasa endemik, tetapi ia mengekalkan pandangan optimis yang berhati-hati berikutan tekanan luar yang meningkat akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Bagaimanapun, buat masa ini, katanya, sebarang kesan buruk ekonomi yang timbul daripada perang Rusia di Ukraine masih terurus dan secara relatifnya sederhana terhadap pertumbuhan domestik.
"Semakan semula pertumbuhan ekonomi ini juga mengambil kira impak banjir kilat yang melanda beberapa negeri di Semenenanjung Malaysia sejak Disember lalu dan lonjakan kes COVID-19 akibat varian Omicron.
"Namun begitu, pertumbuhan masih disokong oleh pemulihan sektor perkhidmatan yang pesat dipacu kadar vaksinasi secara meluas, jumlah penduduk yang menerima dos penggalak, pembukaan semula sempadan dan pengembangan dalam sektor perlombongan dan pertanian di tengah-tengah harga komoditi yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara dasarnya, hubungan dagangan Malaysia dengan Rusia dan Ukraine adalah rendah. Pada tahun lalu, nilai eksport Malaysia ke Rusia mencecah RM3.9 bilion manakala Ukraine, RM700 juta, menjadikannya RM4.6 bilion atau 0.4% daripada jumlah eksport.
Sementara itu, Malaysia mengimport RM4.9 bilion dari Rusia manakala RM700 juta dari Rusia, menjadikan jumlahnya sebanyak RM5.7 bilion atau 0.6% daripada jumlah import Malaysia.
Secara keseluruhan, gabungan defisit perdagangan dengan Rusia dan Ukraine pada 2021 berjumlah RM1.1 bilion (berbanding RM600 juta pada 2020), meningkat 65.8% daripada tahun sebelumnya.
Menurut Kenanga Research, aktiviti dagangan Malaysia dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sepatutnya menjadi kebimbangan utama memandangkan jumlah eksport dan import yang besar.
Pada 2021, Malaysia mengeksport RM103.6 bilion ke EU manakala import pula bernilai RM76.6 bilion, yang menyaksikan lebihan dagangan sebanyak RM27 bilion.
"Sebarang kejutan besar terhadap aktiviti perdagangan akibat sekatan ke atas Rusia boleh memberi kesan ke atas aktiviti perdagangan EU sekali gus menjejaskan aktiviti dagangan Malaysia pada masa hadapan.
"Tetapi, memandangkan kepelbagaian produk eksport, disokong oleh harga komoditi yang lebih tinggi, prestasi perdagangan Malaysia dijangka kekal berdaya tahan," jelasnya.
Dalam pada itu, firma itu berkata, harga minyak yang tiggi akan terus menyokong kedudukan fiskal kerajaan berikutan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada hasil minyak dan gas (O&G), tetapi keuntungan bersih dijangka minimum disebabkan kenaikan subsidi.
"Oleh itu, kami menyemak semula anggaran defisit fiskal kepada 5.8% daripada KDNK berbanding unjuran sebelum ini, 6.1%," katanya.
Ia menjangkakan harga minyak mentah Brent kekal tinggi di tengah-tengah krisis Rusia-Ukraine yang berpanjangan dan sekatan bekalan daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+)
Kenanga Research menyemak semula unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$90 setong daripada AS%65 setong sebelum ini.
Dari segi inflasi pula, firma tersebut mengunjurkan kadar inflasi Malaysia mungkin meningkat lebih tinggi sekitar 3 hingga 3.5% jika perang Rusia-Ukraine berlangsung secara besar-besaran, mengakibatkan korban tentera dan awam yang besar, dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengenakan sekatan ekonomi penuh ke atas Rusia.
Malah, katanya, perang yang semakin memuncak di Ukraine mungkin menyekat keinginan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengetatkan dasar monetari lebih awal daripada yang dijangkakan.
"Tetapi, kami masih menjangkakan BNM akan mula menaikkan kadar dasar semalaman pada suku ketiga ini dengan sekurang-kurangnya 2 kenaikan tahun ini," katanya.
Ringgit pula akan terus diniagakan pada paras RM4.17 hingga RM4.20 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.
"Ini kerana mata wang tempatan itu dijangka terus bergelut untuk mendapatkan daya tarikan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat," jelasnya. - DagangNews.com