Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri meninjau kawasan kebakaran Perumahan Awam Sri Johor di Cheras, malam tadi. - Gambar Bomba Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR 20 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi mengumumkan bahawa setiap ketua isi rumah mangsa kebakaran Perumahan Awam Sri Johor di Cheras akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
“Seperti yang saya umumkan di Selangor pagi tadi mengenai bantuan untuk mangsa bencana, kebakaran ini juga merupakan bencana, jadi kita akan berikan RM1,000 kepada mereka yang terlibat yang menjadi mangsa kebakaran,” katanya selepas melawat kawasan kebakaran itu malam tadi.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan kediaman baharu buat mangsa kebakaran terbabit yang melibatkan lapan unit rumah di tingkat teratas bangunan empat tingkat itu.
"Tingkat tiga ke bawah sekiranya tidak membahayakan penduduk boleh berpindah masuk ke rumah," katanya.
Menurut perdana menteri kebakaran itu berjaya dikawal oleh pihak bomba, namun punca kebakaran masih dalam siasatan.
''Meninjau tapak kebakaran di Flat Sri Johor, Cheras lewat malam ini cukup menghibakan.
''Waktu saya tiba di tempat kejadian, pasukan Bomba dan Penyelamat masih berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan lapan unit rumah di flat berkenaan.
''Saya sempat menemui mangsa-mangsa yang terlibat dan memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menyediakan rumah yang baharu untuk mereka pindah dan duduki.
''Keluarga mangsa kebakaran juga akan menerima bantuan bencana sebanyak RM1,000. Sama-sama kita doakan agar mereka tabah menghadapi ujian ini,'' kata Perdana Menteri.
Dalam kejadian pada kira-kira 9.20 malam itu, lapan unit rumah di tingkat empat Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras terbakar dan operasi pemadaman masih dijalankan. - DagangNews.com