KUALA LUMPUR 17 Nov. - Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin telah meninggal dunia.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub menerusi ciapan Twitter beliau.
Menurut Hussamuddin, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Allahyarham sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengarang Kosmo!, iaitu akhbar harian kompak terbitan Kumpulan Utusan selama 10 tahun antara 2008 dan 2018.
Menurut Sinar Harian, Baharom yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang penulisan dari Universiti Malaya itu terlibat dalam bidang kewartawanan selama 28 tahun sebelum bersara menerusi Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) Utusan pada Disember 2018.
Pada 1 April 2019, Allahyarham telah dilantik sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian merangkap Ketua Pegawai Pengisian.
Sidang editorial DagangNews yang juga pernah menimba ilmu dan bekerja bersama Allahyarham turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah. - DagangNews.com