Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang dicatatkan oleh Bursa Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 melepasi jangkaan yang diletakkan oleh MIDF Research.
MIDF Research berkata, keuntungan yang berjumlah RM272.9 juta itu menjangkau tahap perdagangan awal yang diletakkan pihaknya.
"Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan suku tahunan yang lebih kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2020.
"Hasilnya, PATAMI untuk sembilan bulan pertama 2020 melepasi jangkaan kami untuk tahun ini.
"Perbezaan tersebut disebabkan oleh pandangan dan ramalan rendah kami terhadap minat pelaburan yang membawa pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi," jelas MIDF Research.
Semalam, DagangNews.com melaporkan Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan PATAMI sebanyak RM272.9 juta bagi tempoh 9M20 yang berakhir 30 September lalu.
Baca: 9M20: Bursa Malaysia catat untung bersih RM272.9 juta
Angka itu melonjak 94.5% daripada RM140.3 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Tambah MIDF Research, keuntungan PATAMI yang dicatatkan Bursa Malaysia itu meningkat dua kali ganda.
Peningkatan tersebut turut didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang kuat untuk kedua-dua tempoh sembilan bulan pertama 2020 dan suku ketiga 2020.
Pendapatan operasi pada sembilan bulan pertama 2020 meningkat 55.0% berbanding tahun lalu selain peningkatan pelabur dalam pasaran sekuriti sebanyak 101%.
MIDF Research turut membuat semakan semula terhadap ramalan pendapatan Bursa Malaysia untuk tahun kewangan 2020, 2021 dan 2022 kepada RM336.8 juta, RM325.7 juta dan RM302.1 juta.
"Kami menurunkan saranan saham Bursa Malaysia kepada 'neutral' berbanding 'beli' pada sebelumnya dengan perubahan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM8.90 berbanding RM6.45," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com