Keuntungan bersih FY20 Hong Leong merosot 6% | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih FY20 Hong Leong merosot 6%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan keuntungan bersih tahun kewangan 2020 (FY20) yang berakhir 30 Jun lalu sebanyak RM2,495 juta, merosot sebanyak 6% berbanding tahun lalu. 

Penurunan itu disebabkan oleh kadar faedah lebih rendah menjejaskan margin, peruntukan kerugian pinjaman yang lebih tinggi dan kerugian pengubahsuaian dalam pinjaman automatik serta kadar faedah tetap dalam produk Islam. 

Bagaimanapun, HLB mencatatkan peningkatan pemberian pinjaman sebanyak 6.1% berbanding tahun lalu, berprestasi lebih baik daripada pasaran.

Pengerusi HLB, Quek Leng Chan berkata, pihaknya kekal komited terhadap pertumbuhan perniagaan perbankan Islam menerusi Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLISB) yang memainkan peranan penting dalam menyelaraskan usaha kumpulan. 

 

Quek Leng Chan
Quek Leng Chan

 

“Bagi FY20, aset pembiayaan kasar HLISB meningkat sebanyak 15% kepada RM30 bilion, merangkumi 21% daripada jumlah aset pembiayaan kasar kumpulan,” kata Leng Chan menerusi Laporan Kewangan Tahunan HLB bagi 2020.

Bagi segmen insurans, Hong Leong Assurance Berhad (HLA) meraih keuntungan bersih sebanyak RM141 juta, menurun sebanyak 36% didorong kadar faedah lebih rendah yang mempengaruhi simpanan aktuari, turun naik portfolio pelaburan ekuiti dan pematuhan peraturan baharu seperti Kadar Peruntukan Minimum.

Sementara itu, perolehan sesaham pada FY20 berjumlah 163.6 sen dengan pemulangan ekuiti sebanyak 9.3%, manakala aset bersih sesaham pula meningkat sebanyak 9.8% kepada RM18.43 berbanding RM16.78.

Sehubungan itu, lembaga pengarah HLB mencadangkan dividen akhir sebanyak 25 sen dengan dividen interim pertama sebanyak 13 sen, menjadikan jumlah dividen pada FY20 sebanyak 38 sen, turun 4 sen berbanding tahun lalu.

“Ketika dilaporkan, dengan pandemik COVID-19 masih berterusan, kami tetap berwaspada dalam menguruskan risiko perniagaan utama seperti risiko kecairan, modal, kredit, pasaran, operasi dan keselamatan siber.

“Sektor kewangan berterusan menerima cabaran daripada kemajuan teknologi terutamanya dalam kaedah perniagaan dan operasi dijalankan dan penggunaan data besar untuk pengurusan dan pertumbuhan lebih baik. 

“Di kumpulan Hong Leong, kepentingan dan penyesuaian strategi ‘Digital at the Core’ dalam model perniagaan, produk dan perniagaan diberi penekanan ketika ini. 

“Kami memanfaatkan kemajuan digital ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk memastikan kami tangkas dalam menjalankan operasi perniagaan dengan sebilangan besar kakitangan yang bekerja dari rumah dan juga penggunaan alat digital untuk berinteraksi dengan pelanggan,” tambah Leng Chan. - DagangNews.com