Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Keuntungan bersih RHB Bank Berhad (RHB Bank) pada suku kedua 2020 (2Q20) merosot 34.9% kepada RM400.8 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Ini terutamanya disebabkan oleh kerugian modifikasi yang melibatkan pelaksanaan moratorium pinjaman sehingga RM392.4 juta serta elaun tinggi yang diberikan bagi kerugian kredit.
RHB Bank dalam kenyataannya menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, keuntungan bersih bagi separuh tahun pertama 2020 (1H20) pula merosot 22% disebabkan punca yang sama.
“Memandangkan impak COVID-19 tidak menentu, RHB Bank telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk meningkatkan peruntukan bagi menangani kesan negatif kepada kualiti aset.
“Ini terbukti dengan elaun kerugian kredit pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan meningkat kepada RM359 juta daripada RM168.2 juta bagi tempoh separuh tahun pertama 2019,” kata RHB.
Pinjaman dan pembiayaan kasar RHB Bank meningkat sebanyak 4.9% kepada RM180.8 bilion yang terutamanya disokong oleh pertumbuhan penggadaian, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan di Singapura.
Pinjaman kasar yang terjejas mencatatkan nilai sebanyak RM3.4 bilion setakat 30 Jun 2020.
Menerusi kenyataan sama, Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pihaknya tidak lari daripada terkesan akibat pandemik COVID-19 tetapi kekal komited untuk membantu pelanggan serta menangani kerugian pengubahsuaian pinjaman bersih akibat pelaksanaan moratorium.
“Kami akan terus berhati-hati pada separuh tahun kedua 2020 selain memfokuskan untuk meneruskan perniagaan buat pelanggan dengan menawarkan mereka bantuan serta sokongan ketika masa mencabar ini. Melihatkan moratorium akan berakhir pada September depan, kami mempergiatkan usaha menghubungi pelanggan yang masih memerlukan bantuan pembayaran.
“RHB Bank juga akan terus menawarkan bantuan kewangan kepada PKS menerusi beberapa langkah. Prospeknya tetap mencabar tetapi dalam jangka masa sederhana, kami tetap teguh memacu prestasi strategi lima tahun FIT22, membuat penyesuaian yang diperlukan untuk inisiatif utama bagi memenuhi keperluan pelanggan dan bersedia untuk berdepan pandemik COVID-19.
“Kami yakin dapat membawa kumpulan syarikat menempuhi cabaran ekonomi," katanya. - DagangNews.com