SEOUL 27 Okt. - Unit perkhidmatan IT kumpulan Samsung, Samsung SDS Co. (Samsung SDS) berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 2.6% untuk suku ketiga 2020 berbanding tahun sebelumnya.
Pendapatan suku ketiga syarikat itu lebih kukuh didorong oleh penjualan suku tahunan yang tinggi di tengah-tengah penularan wabak.
Syarikat tersebut mencatatkan keuntungan bersih untuk suku ketiga sebanyak ₩161 bilion (AS$142.7 juta) dengan peningkatan 2.6% berbanding tahun sebelumnya, lapor Yonhap.
Menurut laporan syarikat itu, pendapatannya melonjak 11.7% kepada ₩2.96 trilion dalam tempoh Julai hingga September sekali gus mencapai penjualan suku tahunan yang tertinggi.
Pendapatan operasi syarikatnya juga meningkat 6.4% kepada ₩219.8 bilion dalam tempoh sama.
Jelas syarikat itu lagi, prestasi lebih baik itu dipacu oleh pemulihan pelaburan IT dan pengoperasian semula syarikatnya.
"Perniagaan perkhidmatan IT syarikat mencatatkan penjualan sebanyak ₩1.33 trilion pada suku ketiga 2020 dengan peningkatan 1.1% daripada suku sebelumnya.
"Ia didorong oleh projek berkaitan dengan pekerjaan jarak jauh, kilang pintar dan penyelesaian pengkomputeran awan," jelas syarikat itu lagi.
Bagi perniagaan sumber luar logistiknya, segmen berkenaan mencapai jualan sebanyak ₩1.63 trilion untuk suku ketiga 2020 dengan peningkatan 31% berbanding suku sebelumnya.
Samsung SDS turut memberitahu, pelanggannya akan membuat lebih baik pelaburan IT untuk tempoh suku keempat 2020 seiring dengan perintah duduk di rumah yang disebabkan oleh wabak COVID-19. - DagangNews.com