Keuntungan Kitacon terus terjejas pada 3QFY23 akibat peningkatan kos bahan mentah tinggi dan perang berlanjutan | DagangNews Skip to main content

Keuntungan Kitacon terus terjejas pada 3QFY23 akibat peningkatan kos bahan mentah tinggi dan perang berlanjutan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Keuntungan Kumpulan Kitacon Berhad terus terjejas disebabkan oleh kos bahan mentah yang tinggi berlarutan susulan pandemik dan perang berlanjutan, yang menyebabkan kenaikan harga bahan binaan, kos buruh dan kos operasi lebih tinggi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM7.36 juta pada suku ketiga tahun tahun kewangan 2023 (3QFY23), merosot 13.7% kepada daripada RM8.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pada suku dalam tinjauan juga menurun kepada 1.47 sen daripada 1.71 sen sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan meningkat hampir dua kali ganda kepada RM219 juta pada 3QFY23 berbanding RM116 juta tahun lalu.

 

Bagi tempoh sembilan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih Kumpulan Kitacon jatuh 23% kepada RM27 juta daripada RM35 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatannya pula melonjak 63% kepada RM571.7 juta pada tempoh berkenaan berbanding RM350.8 juta tahun lalu.

 

Menurut kumpulan itu, daya tahannya disokong oleh buku pesanan yang kukuh berjumlah RM1.24 bilion.

 

“Kami melihat permintaan yang stabil untuk aktiviti pembinaan seperti yang dibuktikan oleh kemenangan kontrak baru-baru ini dalam hartanah kediaman atas tanah dan hartanah perindustrian. Dari 1 Januari 2023 hingga 21 November 2023, kami telah dianugerahkan sejumlah RM997.07 juta kontrak,” katanya.

 

Mengulas mengenai prospek pertumbuhan pula, Kumpulan Kitacon berkata ia kekal berhati-hati dan optimistik memandangkan kadar faedah dan tekanan inflasi meningkat disebabkan oleh pelbagai faktor tempatan dan antarabangsa.

 

Tambahnya, ia terus berwaspada terhadap ketidaktentuan harga bahan mentah dan akan terus menggunakan pendekatan strategik dan berhati-hati dalam tender untuk projek masa depan.

 

“Kumpulan terus komited dalam melaksanakan projek yang sedang berjalan mengikut garis masa dan berhasrat untuk mengekalkan buku pesanannya untuk memastikan ia menjana aliran hasil yang konsisten.

 

“Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, Lembaga Pengarah optimistik dengan prestasi kewangan kumpulan untuk baki tahun kewangan kerana ia kelihatan akan terus memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.  - DagangNews.com