KUALA LUMPUR 17 Nov - Untung bersih MISC Bhd. meningkat lebih sekali ganda kepada RM820.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM401 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi lebih baik itu didorong pendapatan lebih tinggi pada suku berkenaan meningkat kepada RM3.61 bilion daripada RM2.69 bilion dipacu hasil lebih tinggi daripada semua segmen.
Kumpulan merekodkan keuntungan operasi bagi tempoh itu sebanyak RM1.03 bilion, 112.7% lebih tinggi daripada keuntungan operasi suku yang sama tahun lalu sebanyak RM484.3 juta disebabkan terutamanya oleh pampasan sekali sahaja untuk rundingan semula kontrak dan kadar pengangkutan yang lebih tinggi dalam segmen penghantaran petroleum dan produk.
Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, MISC merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah, susut kepada RM1.18 bilion daripada RM1.37 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM9.69 bilion daripada RM7.59 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Captain Rajalingam Subramaniam berkata, MISC terus mempamerkan daya tahan dan prestasi kewangan suku ketiga yang kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan dalam industri.
Katanya, berlandaskan kepada rekod prestasi dan keupayaan kumpulan yang terbukti, MISC tetap teguh dalam melaksanakan projek yang sedang berjalan dengan disiplin dan fokus yang berterusan.
"Kedudukan kewangan yang teguh meletakkan kami pada laluan progresif untuk menyampaikan nilai yang mampan kepada pemegang kepentingan.
"Pada masa sama, kami akan mengemudi cita-cita jangka pertengahan hingga jangka panjang untuk mengejar peluang perniagaan baharu sambil melangkah ke masa depan bersih-sifar dengan sinergi dan kerjasama yang lebih besar dengan pemegang kepentingan dan rakan kongsi kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Prospek dalam jangka terdekat kekal positif disokong oleh permintaan global yang semakin meningkat untuk gas asli cecair (LNG) di tengah-tengah krisis tenaga Eropah yang berterusan dan pelaburan infrastruktur LNG tambahan.
Ini akan terus menyokong pertumbuhan LNG walaupun permintaan satu tan batu berdepan tekanan daripada corak perdagangan yang beralih kepada jarak lebih pendek.
Namun, MISC terus menyasarkan untuk menambah nilai kontraknya, termasuk menerokai penangkapan dan penyimpanan karbon serta boleh diperbaharui.
Ia juga akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan kos, menambah baik pelaksanaan projek dan penyampaian projek melalui pelaburan berhemat dalam teknologi, sumber manusia, pendigitalan dan automasi. - DagangNews.com