Keuntungan Q2 Maxis melonjak kepada RM360 juta, umum dividen 4 sen  | DagangNews Skip to main content

Keuntungan Q2 Maxis melonjak kepada RM360 juta, umum dividen 4 sen 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Perniagaan teras jalur lebar mudah alih dan kediaman yang kukuh telah memacu keuntungan selepas cukai (PAT) Maxis Berhad untuk meningkat 5.3% kepada RM360 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Hasil perkhidmatan kumpulan pula terus berdaya tahan pada RM1,988 juta, menyaksikan pertumbuhan 3.1% berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya dengan momentum strategi penumpuan yang lebih baik serta sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan Fiber dan pasca bayar. 

 

Menurut Maxis, hasil pasca bayar meningkat 2.2% kepada RM1,002 juta bagi suku tahun semasa dan pertumbuhan 7.0% bagi asas pelanggan, terutamanya Maxis Postpaid dan Hotlink Postpaid. 

 

Kumpulan mengumumkan dividen interim 4 sen bagi suku tahun semasa memandangkan produktiviti, koleksi dan inisiatif pengurusan tunai berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang dalam ‘pandemik norma baharu’.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gökhan Ogut berkata, dalam masa yang sukar ini, kumpulan terus menyokong negara dengan memberikan kesalinghubungan terbaik untuk rakyat Malaysia.

 

“Walaupun kami berpuas hati dengan prestasi teguh yang telah dicapai untuk suku ini, kami tetap memberikan fokus yang berterusan dalam memastikan pelanggan - dari individu, kediaman dan perniagaan - mempunyai akses kepada penyelesaian dan perkhidmatan terbaik. 

 

Gökhan Ogut
Gökhan Ogut

 

“Kami komited untuk melabur di Malaysia dengan mendorong penggunaan digital yang lebih besar untuk perniagaan, memperluas rangkaian kami dan membangun kemampuan dan bakat baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada suku tahun semasa, Maxis menawarkan penyelesaian yang lebih inovatif untuk pelanggannya, dan mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam asas pelanggan Maxis Postpaid dan Hotlink Postpaid sambil mengekalkan momentum prabayar hingga pascabayar yang stabil.

 

Dengan peningkatan pelanggan dan perniagaan dalam rangkaiannya, perbelanjaan modal (capex) Maxis pada 2QFY21 berjumlah RM180 juta, digunakan untuk menyokong pertumbuhan trafik data, serta pelaburan dalam pertumbuhan Fiber dan Perusahaan. 

 

Dalam pada itu, kumpulan menyaksikan aliran tunai bebas operasi (OFCF) berjumlah RM894 juta terutamanya disebabkan oleh pembayaran sumbangan Peruntukan Perkhidmatan Sejagat.



Penggunaan aplikasi Maxis dan Hotlink pula terus meningkat dengan 61% pemegang akaun utama pascabayar menggunakan Aplikasi Maxis, sementara 75% pelanggan mudah alih prabayar menggunakan Aplikasi Hotlink. - DagangNews.com