Keuntungan sebelum cukai suku ketiga DRB-Hicom RM142.42 juta | DagangNews Skip to main content

Keuntungan sebelum cukai suku ketiga DRB-Hicom RM142.42 juta

DRB-Hicom

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM142.42 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 September 2020.

 

DRB-Hicom dalam satu kenyataan memaklumkan, perolehan yang dicapai untuk tempoh berkenaan bernilai RM3.56 bilion.

 

"Sektor automotif, perkhidmatan dan hartanah DRB-Hicom kesemuanya mencatat prestasi suku terbaik bagi tahun kewangan semasa untuk tempoh berkenaan. 

 

"Anak syarikat, syarikat kerjasama serta syarikat bersekutu kumpulan semuanya mencatat prestasi baik dalam tempoh tersebut," jelas DRB-Hicom.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020, DRB-HICOM mencatatkan kerugian sebelum cukai berjumlah RM408.68 juta, daripada perolehan bernilai RM8.31 bilion. 

 

Kerugian itu disebabkan oleh kesan signifikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerugian modifikasi daripada moratorium yang dipanjangkan kepada pelanggan perbankan dalam tempoh tersebut.

 

Dalam sektor automotif, perolehan meningkat 140.91% berbanding suku sebelumnya kepada RM2.54 bilion untuk tempoh tiga bulan tersebut.

 

Sektor perkhidmatan pula mencatatkan perolehan sebanyak RM918.67 juta dalam suku ketiga, naik 5.4% berbanding suku kedua yang didorong oleh segmen perbankan dan perkhidmatan pos. 

 

Manakala sektor hartanah mengalami tekanan kerana sektor berkenaan adalah antara sub-sektor yang paling lewat dibuka semula selepas PKP. 

 

Bagaimanapun, perolehan dicatatkan bernilai RM104.32 juta dengan peningkatan 32.25% daripada suku sebelumnya, disumbang oleh projek pembangunan. 

 

"COVID-19 masih lagi merupakan ancaman, dan ini menjadikan persekitaran perniagaan domestik dan global amat mencabar. 

 

"Kumpulan akan terus menilai strategi dan inisiatif baharu untuk menangani impak pandemik ini. Bagaimanapun, mengambil kira impak COVID-19 yang bermula Mac lalu, prestasi tahun penuh DRB-Hicom dijangka lebih rendah berbanding tempoh kewangan yang terdahulu," ujar DRB-Hicom lagi. - DagangNews.com