Keuntungan selepas cukai Q1 KPower melonjak 759% kepada RM8.14 juta | DagangNews Skip to main content

Keuntungan selepas cukai Q1 KPower melonjak 759% kepada RM8.14 juta

KPower

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Keuntungan selepas cukai (PAT) Kumpulan Powernet Berhad (KPower) melonjak 759% atau RM7.20 juta kepada RM8.14 juta untuk tempoh kewangan suku pertama (Q1) yang berakhir 30 September 2020.

 

KPower dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga mencatatkan peningkatan sebanyak 411% atau RM45.90 juta dalam jumlah pendapatannya.

 

Pendapatan tersebut meningkat daripada RM11.16 juta kepada RM57.06 juta.

 

"Segmen aktiviti yang berkaitan dengan pembinaan menjadi penyumbang dominan kepada kumpulan sebanyak RM52.81 juta sekali gus mencerminkan peningkatan sebanyak RM48.54 juta atau 1,137% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

"Kenaikan pendapatan kegiatan berkaitan pembinaan didorong oleh kerja tambahan dalam projek pembinaan semasa dan kerja awal dalam projek pembinaan baharu di Laos dan Nepal," jelas KPower.

 

Sejajar dengan momentum pemulihan ekonomi global dan domestik, KPower terus mencatat pendapatan yang tinggi sepanjang tempoh berkenaan didorong oleh aktiviti berkaitan pembinaan dalam segmen tenagam utiliti dan infrastruktur.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun berkata, pihaknya tetap optimis terhadap prospek kumpulannya dengan menilai sektor tenaga yang berdaya tahan.

 

"Kami optimis bahawa kerajaan di seluruh wilayah akan terus fokus kepada industri tenaga, utiliti dan infrastruktur kerana ia adalah industri utama dalam memacu dan mengembangkan semula ekonomi.

 

"ASEAN baru-baru ini meningkatkan sasaran kapasiti tenaga yang boleh diperbaharui kepada 35% pada tahun 2025. Sasaran ini ditetapkan di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa 2 yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2021 hingga 2025," jelasnya lagi. 
 

KPower juga merancang untuk memperluas kehadiran geografi syarikatnya dalam sektor tenaga di ASEAN dan Asia Selatan selain meningkatkan kemampuan dalam spektrum tenaga boleh diperbaharui lain seperti projek solar berskala besar dan memperluas penawaran produknya untuk merangkumi projek tenaga angin / solar hibrid yang mensasarkan pasaran Eropah, Timur Tengah dan Asia Tengah.

 

Hingga ini, KPower telah memperoleh buku pesanan berjumlah RM1.4 bilion di Malaysia, negara-negara ASEAN dan Nepal dan meletakkan target untuk meningkatkan lagi buku pesanannya dengan tambahan RM2.0 bilion menjelang tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2021. - DagangNews.com