Keuntungan suku pertama Petronas Chemicals meningkat kepada RM2.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Keuntungan suku pertama Petronas Chemicals meningkat kepada RM2.1 bilion

KUALA LUMPUR 27 Mei – Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) mencatatkan satu lagi keuntungan suku tahunan tertinggi pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berikutan harga produk yang lebih tinggi dan permintaan secara berterusan. 

 

Bagi tempoh itu, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan meningkat 41% kepada RM2.1 bilion berbanding suku pertama tahun kewangan 2021, melepasi PAT pada suku keempat 2021 sebanyak RM2 bilion sebanyak 2% suku ke suku.  

 

Prestasi kewangan yang kukuh ini didorong oleh harga yang lebih tinggi di semua segmen produk, terutama ammonia dan urea, disokong oleh kenaikan harga tenaga di tengah-tengah permintaan global yang berterusan dan gangguan bekalan.

 

Pada suku berkenaan, pendapatan meningkat 42% tahun ke tahun kepada RM6.6 bilion didorong oleh purata harga produk yang lebih tinggi serta gabungan permintaan tinggi yang berterusan dan tidak dipenuhi disebabkan oleh gangguan bekalan berpanjangan serta harga minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi akibat krisis geopolitik.

 

Jumlah jualan kekal tinggi bagi tempoh itu pada 1.9 juta tan metrik walaupun kadar penggunaan loji yang lebih rendah sebanyak 87% (berbanding 90% pada suku pertama tahun sebelumnya) berikutan aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan statutori yang lebih tinggi.

 

 

Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof
Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof

 

 

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof dalam kenyataan hari ini, berkata, berbanding setahun lalu, harga produk purata lebih tinggi sebanyak 20% hingga 60% di sebalik beberapa penyederhanaan harga bermusim dalam produk tertentu berbanding suku keempat 2021.

 

Namun, katanya, harga produk kekal kukuh akibat konflik Rusia-Ukraine terus meningkat, disokong oleh permintaan yang kukuh.

 

"Walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran dan cabaran rantaian bekalan, kewaspadaan dan strategi kecemerlangan komersial PCG membolehkan kumpulan memenuhi sasaran jualan, meskipun beberapa bandar tertentu di China berada di bawah perintah berkurung selama beberapa minggu," katanya.

 

Mengenai projek pertumbuhan PCG, beliau memberitahu, kumpulan telah memulakan operasi di Kompleks Bersepadu Pengerang seperti yang dirancang pada awal Mei dan aktiviti pentauliahan sedang berjalan dengan sewajarnya. - DagangNews.com