KUALA LUMPUR 7 Dis. - Tidak mustahil indeks pasaran saham Malaysia, KLCI mampu menguji paras 1,770 pada tahun hadapan.
Ini didorong oleh perolehan syarikat-syarikat yang lebih baik, sebelum dijangkakan ditutup pada 1,620 penghujung tahun ini, menurut ramalan Rakuten Trade Research.
Syarikat-syarikat dijangka berada dalam tempoh pemulihan yang berterusan ketika perkembangan positif vaksin COVID-19, didahului oleh syarikat dalam sektor kewangan, perladangan dan pelancongan.
“Kami meramalkan minat risiko pelabur akan meningkat, oleh itu ekuiti akan kekal sebagai pilihan kelas aset dan persekitaran faedah yang rendah kekal selama ekonomi global memulih,” kata Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee hari ini.
Yee menjangkakan perolehan syarikat mengukuh pada 2021 dengan kadar pertumbuhan lebih pantas sehingga 50.7% daripada ramalan awal iaitu 35.3%.
Tambahya, selain pertumbuhan perolehan syarikat lebih baik, KLCI juga akan terus berada dalam keadaan mudah tunai (liquidity) pada tahun hadapan dengan penyertaan pelabur runcit pantas dan aliran masuk asing tinggi.
Ujarnya, dana asing akan beralih kepada pasaran Asia pada tahun hadapan terutamanya di China dan Hong Kong berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang kukuh.
Ini akan memberi manfaat buat Malaysia hasil kesan limpahan situasi berkenaan.
“Pada masa hadapan, kami menjangkakan China bakal menerajui Asia memandangkan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai rakan kongsi perniagaan lebih baik daripada Presiden AS, Donald Trump,” ujar Yee.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar asing bernilai RM24 bilion setakat ini.
Pegangan saham asing semasa berada pada tahap rendah pelbagai tahun di bawah 12% pada bulan November.
Sehubungan itu, beliau tidak melihat gelombang aliran keluar asing bersih yang ketara bakal berlaku lagi.
Kata Yee, sektor perbankan merupakan pemacu pertumbuhan dan dalam semua aspek pemulihan, sektor itu menerima kelebihan.
Rakuten memilih Maybank, Public Bank dan Hong Leong Bank sebagai pilihan utama.
Bagaimanapun, pilihan sektor pada tahun hadapan akan beralih kepada perladangan walaupun pasaran ketika ini masih bimbang terhadap kemampanan harga tinggi minyak sawit mentah (MSM).
“Perladangan akan menjadi ‘sektor sarung tangan’ seterusnya pada tahun hadapan.
“Pada awal prestasi sarung tangan getah dahulu, pelabur juga tidak percaya bahawa harga sektor itu akan kekal tinggi,” tambah Yee. - DagangNews.com