Keuntungan tinggi daripada tukaran mata wang asing, Maybank IB kekal berhati-hati terhadap kemampanan pendapatan MISC | DagangNews Skip to main content

Keuntungan tinggi daripada tukaran mata wang asing, Maybank IB kekal berhati-hati terhadap kemampanan pendapatan MISC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal berhati-hati terhadap kemampanan pendapatan MISC Berhad kerana sebahagian daripada pengembangan margin keuntungan mereka pada separuh pertama 2023 disokong oleh pertukaran mata wang asing yang tinggi.

 

Dari segi prospek, firma penyelidikan itu menjangkakan segmen gas kekal stabil pada portfolio yang kebanyakannya kapal sewa jangka panjang.

 

Katanya, permintaan bagi segmen petroleum dijangka perlahan selain kadar kapal tangki terus menyederhana kesan daripada pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+). 

 

"Walaupun pengiktirafan pendapatan yang lebih rendah untuk segmen luar pesisir disebabkan oleh kadar penukaran unit kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) namun pendapatan operasi jauh lebih tinggi pada separuh pertama 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23), melonjak kepada RM452.90 juta berbanding kerugian bersih RM19.1 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi 2QFY23 juga meningkat 10.5% kepada RM3.55 bilion daripada RM3.21 bilion sebelumnya, disokong oleh prestasi positif dalam aset dan penyelesaian gas; petroleum dan perkapalan produk serta segmen marin dan kejuruteraan berat.

 

Keuntungan operasi kumpulan sebanyak RM531.3 juta berjumlah RM70.4 juta atau 15.3% lebih tinggi daripada keuntungan suku yang sama sebanyak RM460.9 juta.

 

Pendapatan segmen aset gas dan rumusan meningkat 1.2% kepada RM771.8 juta pada 2QFY23 berbanding RM762.5 juta sebelumnya, disebabkan kesan kejatuhan ringgit berbanding dolar AS pada suku semasa.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko akibat pendapatan rendah untuk segmen gas kesan daripada tamat tempoh kontrak dan potensi peningkatan kos daripada FPSO Mero-3.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM7.19 sen sesaham. - DagangNews.com