Keusahawanan dipacu Inovasi Berasas Pasaran | DagangNews Skip to main content

Keusahawanan dipacu Inovasi Berasas Pasaran

 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba ketika berucap pada majlis penutup Siri Supercharger: Supercharger Potensi Pengkomersialan Anda di pejabat MRANTI pada 25 Ogos 2022.
Oleh AFIZAN AMER

KETAKUTAN untuk membuat perubahan ataupun inovasi merupakan topik yang kompleks dan peribadi.

 

Ia adalah perkara yang menyeramkan dan mungkin boleh melumpuhkan daya saing sesetengah usahawan dan  kebolehan mendorong orang lain untuk bertindak dengan lebih berani.

 

Walau bagaimanapun Universiti Teknologi MARA sebagai sebuah universiti yang ingin menjadikan keusahawanan sebagai asas untuk menjadi sebuah universiti di peringkat global (A Global Renowned University) menjelang 2025, secara umumnya, harus melihat perkembangan dalam dunia keusahawanan di peringkat global.

 

Ini jelas menunjukkan bahawa tiga faktor yang menjadi halangan yang  menahan inovasi dalam dunia keusahawanan berlaku dengan lancar ialah, ketakutan terhadap kritikan, ketakutan terhadap ketidakpastian dan ketakutan terhadap kesan negatif terhadap masa depan sesuatu perniagaan.

 

Para usahawan yang berusaha pada paras purata atau di bawah purata seorang inovator adalah dua hingga empat kali lebih berkemungkinan tidak mahu berinovasi berbanding daripada mereka yang bekerja bersama para inovator untuk berinovasi.

 

 

adham baba

 

 

Usaha Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau untuk bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti “Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation” (MRANTI) sebuah agensi pengkomersialan penyelidikan & inovasi pusat Malaysia ialah untuk membantu mempercepatkan idea penyelidikan di dalam universiti ke pasaran.

 

Usaha ini adalah untuk mewujudkan sebuah ekosistem keusahawanan yang dipacu inovasi berasaskan pasaran agar impak kajian yang dilaksanakan di dalam universiti muncul sebagai penyelesai masalah terbesar dan berasaskan kehendak pasaran.

 

Ini akan membantu usaha para penyelidik di dalam universiti untuk memberikan komitmen yang berimpak dan fokus sepenuhnya kerjaya mereka pada inovasi, apatah lagi pada satu projek inovasi yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

 

Dengan melibatkan para pensyarah dari fakulti ini dengan program seperti “Siri Supercharger MRANTI: Supercharger Potensi Pengkomersialan Anda” yang berlangsung pada 25 Ogos lepas, para inovator dan penyelidik di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau dapat didedahkan dengan program keusahawanan yang dipacu inovasi di peringkat global.

 

Dan usaha ini dilihat menyokong usaha UiTM untuk muncul sebagai sebuah universiti terkemuka di peringkat global berasaskan keusahawanan.

 

Program-program seperti ini juga jelas berjaya dalam mengurangkan kebimbangan terhadap kegagalan terhadap sesuatu inovasi kerana program sebegini menjadikan inovasi sebagai keperluan eksplisit kejayaan profesional.

 

 

adham baba
Dr Adham Baba berucap pada majlis penutup Siri Supercharger: Supercharger Potensi Pengkomersialan Anda di MRANTI pada 25 Ogos 2022.

 

 

Program ini membariskan tetamu-tetamu yang pakar dalam bidang inovasi di peringkat global, yang berkongsi rahsia mengenai pengkomersialan R&D.

 

Contoh projek-projek inovasi yang berjaya dikomersialkan juga dipamerkan dalam program Siri Supercharger MRANTI pada 25 Ogos 2022 tersebut.

 

Ini dapat memberikan  inspirasi kepada tenaga pengajar di UiTM daripada barisan pakar dan mereka di beri peluang untuk menyelami topik tentang R&D untuk pengkomersialan, cara mendapatkan pelaburan untuk pengkomersialan IP dan banyak lagi.

 

Acara ini bertujuan untuk menghimpunkan inovator, pemilik perniagaan, usahawan sosial, syarikat permulaan dan syarikat spin-off.

 

Ia juga membolehkan mereka berinteraksi dan terlibat dengan MRANTI serta ekosistem Penyelidikan & Pembangunan (R&D) dan Pengkomersialan & Inovasi (C&I). Acara dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar.

 

 

Dzuleira Abu Bakar
                      Dzuleira Abu Bakar

 

 

Program ini jelas dapat membantu para pensyarah untuk mengatasi maslah ketakutan terhadap kritikan, yang mana merupakan halangan besar ketiga kepada inovasi, dan ia adalah sesuatu yang kita semua rasa menjadi penghalang untuk membawa nilai keusahawanan dalam diri kita kepada tahap tertentu.

 

Masalah ini boleh menjejaskan kejayaan satu ekosistem keusahawanan berasaskan inovasi  di universiti. Setiap idea berimpak harus didengari dan di kembangkan. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mengubah hidup dan menjayakan keusahawanan berasaskan inovasi ini.


 

adham baba

 


Jika kita dibiarkan, ketakutan untuk berinovasi  ini akan menjadi halangan budaya yang besar, mengubah semangat awal seseorang usahawan untuk berinovasi dan akhirnya menjadi sikap tidak peduli.

 

Sesungguhnya, sikap berinovasi mengatasi prestasi menggambarkan persekitaran kerja yang dipenuhi dengan tenaga positif dan semangat, dan mengenal pasti kreativiti dan keseronokan bekerja.

 

Tetapi untuk merealisasikan perkara ini, penyelidik di universiti perlu menterjemahkan penyelidikan ke dalam pembangunan eksperimen dan bukti konsep untuk kegunaan komuniti bagi mewujudkan impak yang lebih besar. – DagangNews.com

 

Afizan Amer Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Rembau