KUALA LUMPUR 23 Sept - Kewangan Islam merupakan tunjang kepada pemulihan ekonomi selain berperanan meningkatkan kuasa pengguna.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Muazzam Mohamed berkata, sebagai antara kuasa utama perubahan, adalah penting untuk mempertahankan nilai dan prinsip kewangan Islam ke arah mencapai kemakmuran bersama, kemampanan dan keterangkuman.
Katanya, pembiayaan sosial juga kekal sebagai mekanisme kritikal bagi kami untuk menggalakkan kepercayaan sosial, kerjasama dan perpaduan
"Di Malaysia, melalui inisiatif sejajar Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), kami telah menyumbang secara signifikan kepada pemulihan sosio-ekonomi negara semasa pandemik COVID-19 dengan mengagihkan kewangan sosial kepada segmen yang terdedah, khususnya B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya pada sidang media Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF2022), hari ini.
Forum selama dua hari itu akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober 2022.
Forum selama dua hari bertemakan 'Take the Reins' itu dianjurkan oleh Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) yang antara lain untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan global kewangan Islam.
Menurut Moody's, pemulihan ekonomi dalam pasaran utama kewangan Islam akan meningkatkan pertumbuhan kredit dan permintaan untuk produk patuh syariah, dan peningkatan aset bank Islam dijangka terus mengatasi bank konvensional.
Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan menduduki tempat pertama dalam kalangan 81 negara untuk kesembilan tahun berturut-turut dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global.
Malaysia terus menerajui untuk mengukuhkan peranan dan sumbangan kewangan Islam dalam menyokong pembangunan sosio-ekonomi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - DagangNews.com