Key Asic raih kontrak reka bentuk cip bernilai lebih RM28 juta | DagangNews Skip to main content

Key Asic raih kontrak reka bentuk cip bernilai lebih RM28 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Key Asic Berhad telah memeterai kontrak reka bentuk cip dengan nilai kumulatif lebih RM28 juta dalam tempoh tiga tahun dengan pemaju semikonduktor, Syarikat S.

 

Syarikat S menjalankan perniagaan mereka bentuk, membangun, mengeluarkan dan menjual produk yang mengandungi peranti semikonduktor.

 

Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berjaya meraih tiga kontrak mereka bentuk sistem pada cip (SoC) yang memerlukan penghantaran wafer dan cip dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Cip itu akan memasuki pengeluaran kejuruteraan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan seterusnya akan dihasilkan secara besar-besaran," katanya.

 

Kumpulan itu tidak melihat sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko kewangan dan pengeluaran yang berkaitan dengan tempoh perjanjian.

 

Kontrak itu tidak  mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham kumpulan.

 

Tiada sebarang pengarah atau pemegang saham utama kumpulan atau orang berkepentingan memiliki minat secara langsung atau tidak langsung terhadap kontrak itu. - DagangNews.com