Keyakinan perniagaan merosot ekoran pandemik COVID-19 yang berpanjangan | DagangNews Skip to main content

Keyakinan perniagaan merosot ekoran pandemik COVID-19 yang berpanjangan

SEMUA sektor yang diliputi menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku ketiga 2021 - Gambar hiasan oleh Scott Graham

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Keyakinan peniaga merosot pada suku ketiga 2021 (3Q21), dan mereka lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka, menurut kajian terkini Jabatan Perangkaan (DoSM).

 

Berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan itu, petunjuk keyakinan perniagaan merosot kepada -21.3% pada suku tahun tersebut berbanding -3.1% pada suku tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua sektor yang diliputi menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku ketiga 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang buruk dan berpanjangan di negara ini.

 

“Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit merosot ke trajektori negatif dengan -39.4% berbanding +5.6% pada suku kedua 2021 disebabkan peniaga yang kurang keyakinan terhadap keadaan perniagaan mereka untuk tempoh tiga bulan akan datang,” katanya seperti dilaporkan Bernama

 

Sektor industri dan perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menyusut kepada -11.0% dan -22.8% pada 3Q21 berbanding -1.5% dan -6.1% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya. 

 

Pada masa yang sama, sektor pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun sama dengan -45.0% berbanding -30.5% pada suku tahun sebelumnya.

 

“Secara keseluruhan, imbangan bersih -12.9% menunjukkan pertubuhan meramalkan pendapatan kasar mereka akan merosot, di mana 23.6% pertubuhan menjangkakan hasil kasar meningkat untuk suku ketiga, manakala 36.5% menunjukkan sebaliknya.

 

“Pada masa yang sama, 39.9% pertubuhan meramalkan hasil kasar mereka kekal sama. Dari segi pekerjaan, majoriti pertubuhan (76.5%) meramal untuk mengekalkan pekerja mereka untuk suku tahun rujukan," kata Mohd Uzir. 

 

Melihat kepada sentimen bagi enam bulan ke hadapan, peniaga pesimis terhadap prospek perniagaan mereka bagi Julai hingga Disember 2021 dengan imbangan bersih keseluruhan -21.7% berbanding +11.0% bagi April hingga September 2021. - DagangNews.com