Khazanah berjaya tetapkan harga penawaran sukuk dan bon konvensional bernilai AS$1.5 bilion | DagangNews Skip to main content

Khazanah berjaya tetapkan harga penawaran sukuk dan bon konvensional bernilai AS$1.5 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - Khazanah Nasional Berhad berjaya menetapkan harga bagi penawaran dwi-bahagian (dual-tranche) bernilai AS$1.5 bilion yang terdiri daripada sukuk AS$750 juta untuk jangka lima tahun yang matang pada tahun 2028 dan bon konvensional AS$750 juta untuk jangka 10 tahun yang matang pada 2033.

 

Terbitan itu menandakan sukuk dan bon korporat dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang pertama bagi Khazanah daripada Program Terbitan Sukuk Pelbagai Mata Wang AS$5 bilion yang baharu ditubuhkan dan Program Nota Jangka Sederhana Euro AS$10 bilion melalui syarikat-syarikat tujuan khas milik penuhnya, Khazanah Global Sukuk Berhad dan Khazanah Capital Ltd. 

 

Terbitan terakhir Khazanah ialah sukuk tidak dinilai taraf AS$1 bilion pada 2021.

 

Sekuriti tersebut dilancarkan pada petunjuk harga awal 135 mata asas (bps) sepanjang tempoh lima tahun hasil Perbendaharaan AS untuk sukuk lima tahun dan 160 bps sepanjang tempoh 10 tahun hasil Perbendaharaan AS untuk bon konvensional 10 tahun. 

 

Urus niaga tersebut mendapat permintaan tinggi dan menarik lebih 200 pelabur di merentasi Asia, Eropah dan Asia Barat dengan lebihan langganan sebanyak tujuh kali.

 

Harga langganan mencapai kemuncak pada AS$12 bilion, menyebabkan Khazanah menyemak semula pentunjuk harga dengan lebih ketat kepada 93bps dan 118bps, menerbitkan sekuriti masing-masing pada 4.68% dan 4.87%.

 

Sekuriti tersebut bakal disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad (di bawah Rejim Pengecualian), Labuan International Financial Exchange Inc. (LFX) dan Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX-ST). 

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, penerimaan luar biasa serta meluas terhadap sukuk dan bon bernilai taraf pertama itu mencerminkan keyakinan teguh pelabur terhadap keupayaan kredit dan strategi jangka panjang selain mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran modal global.

 

Katanya, pelabur menerima dan memahami bahawa Khazanah adalah pelabur strategik dan dana antara generasi yang mampu mengharungi turun naik jangka pendek. 

 

"Terbitan tersebut dijalankan dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, akan menjadi penanda aras untuk kredit Khazanah sementara kami meneruskan usaha pengimbangan portfolio dan pengukuhan penyata imbangan kami sebagai sebahagian daripada usaha memajukan negara," katanya. - DagangNews.com